bahasa

4 rakan didakwa cuba rompak penyambut tetamu hotel

Empat rakan termasuk 2 adik-beradik dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan cuba merompak seorang pekerja hotel, bulan lepas.

Ahmad Helmi Osman, 24, dan adiknya Amirul Ashraf Osman, 23, Intan Zaleha Mohd Zaki, 23, dan Didi Andika Junaidi, 27, semuanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Keempat-empat tertuduh didakwa bersama-sama cuba melakukan rompak terhadap Charles Lee Kok Chin, 25, penyambut tetamu, di kaunter penyambut tetamu sebuah hotel di Jalan Ampang pada 12.05 tengah malam, 14 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan sebarang wang jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan kesemua tertuduh adalah serius.

"Pihak pendakwaan juga bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain dia berkemungkinan melarikan diri," katanya.

Ahmad Helmi dan Amirul Ashraf, kedua-duanya mekanik, memohon mahkamah mengenakan jaminan minimum dengan alasan mereka perlu menjaga ibu manakala Intan Zaleha yang tidak bekerja berkata dia berasal dari keluarga susah, mempunyai enam adik-beradik dan ibu bapanya pula sudah bercerai.

Seorang lagi tertuduh Didi Andika, seorang pembantu restoran memberitahu mahkamah dia sudah berkahwin dan perlu menyara 2 anaknya.

Hakim Jagjit Sigh membenarkan semua tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan syarat tambahan iaitu mereka tidak dibenarkan mengganggu

mangsa dan saksi pendakwaan dalam kes itu.

Mahkamah menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes. – Bernama, 11 Mac,  2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments