bahasa
Adakah GST digunakan untuk bayar hutang kerajaan, soal Ku Li
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengkritik tindakan Putrajaya dalam memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta mempersoalkan sama ada hasil yang dikutip daripada sistem percukaian baharu itu akan digunakan untuk membiayai hutang kerajaan.
Ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, cukai berkenaan akan menjadi tambahan beban untuk rakyat yang kini sudah terlalu banyak dibebani hutang susulan kemerosotan ekonomi negara.
"Di atas perkiraan inilah saya cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.
"Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat.
"Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada si pemiutang dan pemegang bon, tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan," katanya, ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika ditanya pemberita sama ada pemiutang yang dimaksudkannya merujuk kepada pembayaran faedah pinjaman syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ku Li hanya berkata, "itu faham-faham sendirilah."
Menurut bekas menteri Kabinet itu, Putrajaya akan bertindak tidak adil sekiranya bebanan hutang itu disalurkan kepada rakyat tanpa sebarang sebab munasabah.
"Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil.
"Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini," katanya.
Ku Li turut berkata, sekiranya Putrajaya berhasrat membantu rakyat, sebarang usaha untuk perubahan seharusnya memberikan kesan positif kepada rakyat.
“Sekiranya kita hendak menyelamatkan rakyat, apa-apa cadangan kita untuk perubahan mestilah mampu menimbulkan kesan positif untuk mengatasi masalah berat yang melanda negara.
“Dalam menimbang apa jua perubahan, kita seharusnya memahami keadaan yang sedang melanda negara, yang demikian saya ingin nyatakan kerisauan saya terhadap keadaan negara sekarang ini,” katanya.
Ku Li turut membangkitkan kerisauan beliau terhadap kadar hutang negara yang menurutnya kini mencecah paras kritikal.
“Kerisauan saya mengenai hutang negara ialah ia mencecah paras yang boleh menyebabkan tercetusnya krisis ekonomi dan politik di hari muka. Kita tidak mungkin dapat menelah akan akibat dan kesan daripada krisis sebegini.
“Tetapi apa yang nyata ialah ia berbahaya terhadap demokrasi berperlembagaan yang mencorakkan kenegaraan Malaysia. Sekali gus ini mengarahkan perhatian umum kepada persoalan asas lagi penting sama ada Dewan Rakyat mampu bertindak untuk menangani permasalahan semasa demi menegakkan ikrar kita ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat,” katanya. – 17 Mac, 2015.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments