bahasa
APMM tahan 5 warga Indonesia ceroboh perairan negara
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan satu bot dan 5 lelaki warga Indonesia yang disyaki cuba menceroboh perairan negara dalam Operasi Satria Selatan di Pulau Undan semalam.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Lima Kuala Linggi Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab berkata mereka yang terdiri daripada seorang awak-awak dan tekong serta 3 penumpang berusia antara 20 dan 49 tahun itu ditahan di kedudukan 5 batu nautika dari barat pulau itu, kira-kira 10.45 malam tadi.
"Mereka ditahan selepas APMM mengesan bunyi deruman bot jenis gentian kaca dengan enjin Yamaha 40 kuasa kuda tanpa nombor pendaftaran dari arah pantai Sungai Duyung menuju ke tengah laut yang agak mencurigakan ketika rondaan dilakukan di perairan itu," katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati tekong dan awak-awak yang masing-masing berusia 49 dan 34 tahun serta seorang penumpang berumur 34 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport.
Katanya 2 lagi penumpang berusia 20 dan 24 tahun pula mempunyai pas lawatan sosial yang tamat tempoh pada 7 Oktober dan 25 November tahun lepas.
Mazlan berkata siasatan awal mendapati bot berkenaan disyaki digunakan untuk membawa masuk dan keluar warga Indonesia dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan bot itu disita untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya berjaya melakukan 4 tangkapan membabitkan 17 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia kerana menceroboh perairan negara antara Januari hingga semalam.
"APMM Kuala Linggi sentiasa mengalu-alukan maklumat orang ramai bagi memastikan keselamatan perairan negara daripada aktiviti jenayah termasuk penyeludupan di talian hotline APMM 06-6876804," katanya. – Bernama, 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments