bahasa
Bank Negara serah nama pengganti Zeti kepada Putrajaya
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang bakal bersara bulan depan berkata, ahli lembaga bank pusat itu sudah mencadangkan nama penggantinya kepada Putrajaya.
Katanya, Putrajaya akan membuat keputusan dan menyerahkan nama tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Zeti yang menjadi gabenor sejak Mei 2000 sudah berkhidmat di bawah 5 menteri kewangan dan 3 perdana menteri.
"Bank sudah membuat cadangannya, iaitu jawatankuasa pentadbiran lembaga pengarah kami yang terdiri daripada pengarah bebas.
"Mereka sudah menyerahkan cadangan itu dan kerajaan akan membuat satu keputusan dan mengemukakannya kepada Agong," kata Zeti kepada wartawan sewaktu ditemui di Sasana Kijang, Bank Negara petang ini.
Zeti pada 17 Februari berkata, Bank Negara sedang menyaring nama penggantinya dan individu berkenaan perlulah bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Di antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Zeti adalah 2 orang timbalannya, Datuk Mohamed Ibrahim dan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Nama-nama lain adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Ditanya tentang pilihan Bank Negara di antara nama-nama berkenaan, Zeti menjawab: "Bersabarlah. (Ia akan diketahui) tak lama lagi," katanya.
Beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang tidak mahu mengulas tentang sebarang kes yang sedang disiasat pihak berkuasa sewaktu ditanya pendapatnya tentang siasatan ke atas operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum itu, Zeti menyampaikan ucaptama pada acara Wharton Global Forum 2016. – 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments