bahasa

Berganding dengan pembangkang selamatkan Umno, kata Sanusi Junid

Tan Sri Sanusi Junid berkata beliau menandatangani Deklarasi Rakyat kerana beliau sayangkan Umno dan tidak mahu melihat ia digulingkan daripada kuasanya. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Tan Sri Sanusi Junid berkata beliau menandatangani Deklarasi Rakyat kerana beliau sayangkan Umno dan tidak mahu melihat ia digulingkan daripada kuasanya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Seorang veteran parti tampil mempertahankan gandingan pemimpin Umno dan pembangkang dalam menentang presiden Datuk Seri Najib Razak, mengatakan beliau melakukannya kerana tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut supaya Najib meletak jawatan kerana beliau sayangkan Umno dan tidak mahu melihat ia digulingkan daripada kuasanya.

"Bukan duduk dalam Umno tapi mengkhianati Umno. Yang itu kita kata sayang pada Umno?

"Sayang pada Umno adalah membuat supaya Umno ini dihormati orang, negara ini dihormati orang. Itu makna sayang pada Umno

"Sayang pada Umno ini bukan bermakna semua pemimpin yang dah berjasa kita maki, pasal menegur kesalahan kita," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di blog http://dinturtleoriginal.blogspot.my.

Video itu adalah rakaman wawancara antara penulis blog itu dan Sanusi, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno dan menteri besar Kedah.

Sanusi merupakan antara beberapa orang pemimpin Umno yang menandatangani Deklarasi Rakyat bersama-sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.

Pemimpin lain termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Media Umno ketika ini menyerang pemimpin dan ahli parti yang menandatangani deklarasi itu, menuduh mereka bekerjasama dengan pembangkang menjatuhkan parti pemerintah BN.

Kumpulan pro-Umno menumpukan pada kehadiran Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di majlis itu dalam menyokong kecaman terhadap Sanusi dan ahli Umno lain.

Dalam video tersebut, Sanusi juga mempertahankan Lim yang didakwanya tidak pernah membuat rakyat sengsara.

Katanya, veteran DAP itu tidak pernah membuatkan Malaysia menanggung hutang besar, dipercayai merujuk kepada skandal hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat yang diilhamkan Najib.

"Hebat sangatkah Lim Kit Siang itu? Saya tak pernah nampak Lim Kit Siang itu hebat. Saya pun hairan macam mana satu parti Melayu takut kat seorang manusia Cina.

"Dan manusia Cina ini yang menjadi pembangkang dah berpuluh tahun tak pernah boleh duduk dalam kerajaan.

"Dia tak pernah bagi susah kita. Tak pernah dia suruh cadang supaya kenakan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

"Tak pernah dia cadangkan dalam Parlimen supaya berhutang tak payah bayar. Tak pernah dia suruh dalam Parlimen buat yang bukan-bukan," katanya.

Beliau kemudiannya menyindir layanan yang diberikan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low walaupun hakikatnya terpalit dengan pelbagai skandal.

"Tapi, Cina yang patut kita meluat, ini, Cina macam Jho Low tu dan penyangak-penyangak dan kawan-kawan dia yang lain. Itu yang kita patut benci (tapi) yang itu pulak jadi macam orang baik.

"Kalau dia kena datang ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hak dia bercakap itu kena rahsia. Tak boleh beritahu kat orang, takut nampak buruk dia," katanya. – 11 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments