bahasa

BN, Pakatan sokong cadangan tambah baik Parlimen Pandikar

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendapat sokongan daripada pihak kerajaan pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) untuk penambahbaikan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mei, 2015.Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendapat sokongan daripada pihak kerajaan pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) untuk penambahbaikan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mei, 2015.Kedua-dua pihak kerajaan pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyokong cadangan penambahbaikan Parlimen yang disuarakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata, pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen pada 1992 menyebabkan kekaburan antara legislatif dan eksekutif.

Langkah itu menjadikan institusi Parlimen seolah-olah sama dengan jabatan kerajaan sebaik akta tersebut dimansuhkan.

Hasilnya, kerajaan menempatkan seorang menteri yang menguruskan urusan Parlimen sehingga wujudnya struktur formal yang memiliki banyak penjawat awam, termasuk ketua pengarah.

"Pandangan saya harus diadakan perubahan serta reform kepada Parlimen terutamanya daripada segi akta perhidmatan Parlimen, ia harus dikembalikan balik untuk meletakkan dewan rakyat dan negara di tempat sepatutnya.

"Ia bagi membezakan ataupun jauh sedikit daripada pihak eksekutif. Seharusnya ada garisan antara eksekutif dan pihak Parlimen," kata Shahrir pada sidang media di lobi Dewan Rakyat pagi ini.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menjadi perdana menteri Malaysia.

Semalam, Pandikar mendedahkan hasratnya meletakkan jawatan kerana kecewa institusi Parlimen dilihat sebagai "rubber stamp", di samping mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk mengembalikan semula akta tersebut.

Sementara itu, Ketua Whip Parlimen DAP Anthony Loke Siew Fook juga menyatakan sokongan terhadap cadangan Pandikar.

"DAP menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap gesaan oleh Pandikar supaya Parlimen ditambah baik.

"37 Ahli Parlimen dan 2 Senator DAP menyatakan sokongan sepenuhnya ke atas usaha Pandikar untuk menambahbaik Parlimen," kata Loke pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Shahrir juga berkata, langkah penambahbaikan tersebut boleh bermula dengan penubuhan jawatankuasa kerja bagi mengkaji cadangan Pandikar untuk menentukan hala tuju dan mengembalikan kebebasan kepada Parlimen.

"Ia boleh terdiri daripada pengamal undang-undang dan bekas ahli parlimen, bekas menteri dan mereka yang mempunyai kefahaman dengan proses Parlimen.

"Ini supaya jawatankuasa kerja ini boleh menerima pandangan semua ahli parlimen dan juga orang biasa yang berminat tentang soal hala tuju dan nak kembalikan balik ke Parlimen sebagai institusi yang bebas dan tersendiri daripada eksekutif," katanya.

Menurut Shahrir, cadangan Pandikar boleh dipertimbangkan bagi memberi lebih kebertanggungjawaban dan akauntabiliti kepada Parlimen.

"Saya rasa perkara ini boleh dipertimbangkan, tentunya penambahbaikan dan perubahan boleh menambah soal kebertanggungjawaban dan akauntabiliti kepada Parlimen," katanya. – 20 Mei, 2015.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments