bahasa
DAP tak yakin pakatan pembangkang baharu PAS mampu bawa perubahan
DAP hari ini mempersoalkan sama ada PAS boleh jadi inklusif, anti rasuah dan cekap dalam pentadbirannya selepas parti Islam itu mengumumkan rancangan membentuk blok pembangkang kedua dengan sebuah parti pelbagai kaum yang masih belum dinamakan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rancangan itu akan gagal jika PAS tidak mampu menjadi inklusif dan menghormati parti lain.
“Itu hak mereka untuk bentuk gabungan tetapi apa yang penting ialah sama ada mereka boleh jadi inklusif atau tidak.
“Salah seorang pemimpin mereka, penyokong kuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Khairuddin baru-baru ini berkata sempena sambutan Hari Wanita, wanita patut duduk di rmah bagi mengelak keluarga berpecah,” katanya kepada wartawan, hari ini.
Selasa lalu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, wanita patut menjalankan fungsi mereka yang sebenar di rumah sebagai isteri dan ibu.
“Pandangan seperti ini, wanita tidak boleh jadi suri rumah yang baik jika bekerja, tidak inklusif dan tidak menghormati wanita,” kata Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, selepas melancarkan pembukaan loji pembuatan syarikat multinasional Jerman, Atotech, di Penang Science Park.
Lim mempersoalkan sama ada PAS boleh menangani perkara penting seperti rasuah dan urus tadbir yang baik.
“Kedua, pendirian mereka terhadap rasuah tidak cukup tegas, seperti dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal derma RM2.6 bilion. Bolehkah mereka tegas dalam memerangi rasuah?
“Ketiga, daripada aspek kecekapan, bolehkah mereka bawa perubahan dalam pentadbiran? Buat lebih baik daripada Barisan Nasional?
“Jika kita lihat bagaimana kerajaan Kelantan ditadbir, saya fikir ia tidak akan dapat keyakinan rakyat. Seperti isu pembalakan, dan isu perumahan untuk mangsa banjir, dengan ada antara mereka masih tinggal dalam khemah.”
DAP dan PAS, sebelum ini sebahagian daripada Pakatan Rakyat, berpecah selepas PAS bertegas mahu melaksanakan hukuman jenayah Islam, hudud.
Lim berkata rakyat juga boleh menghakimi sendiri pakatan pembangkang yang dicadangkan PAS.
“Anda mungkin dapat sokongan tetapi bolehkah anda bawa perubahan? Jika anda tidak inklusif, tidak tegas memerangi rasuah, tidak boleh mentadbir kerajaan dengan cekap, tidak akan ada pergerakan menuju perubahan.
“Jadi, tidak ada maknanya,” kata Lim.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan membentuk satu pakatan pembangkang kedua.
Beliau berkata, blok baru itu akan melibatkan sebuah "parti pelbagai kaum", tetapi tidak akan bekerjasama dengan Umno, dan satu memorandum persefahaman mengenainya akan ditandatangani pada 16 Mac. – 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments