bahasa
Digertak sebaran gambar disko, Syed Saddiq akan terus bersuara
Pendebat terbaik Asia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lantang bersuara mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dikejutkan dengan gambarnya ke disko tersebar di media sosial hujung minggu lalu.
Syed Saddiq berkata, ini merupakan salah satu cara penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) menggertaknya agar mengunci mulut.
“Mereka cuba untuk menggertak dan mendiamkan saya dengan isu ini, bukan kali pertama saya diugut dengan perkara ini.
“Bukan kali pertama saya diugut dengan perkara ini. Ramai yang beri saya cadangan untuk menidakkan perkara ini atau berdiam diri dan menolak isu ini ke tepi.
“Tetapi saya tidak akan berbuat demikian. Saya bukan ahli politik. Saya tidak akan menipu dan saya tidak akan memutar belitkan fakta yang sedia ada,” katanya dalam satu posting di Facebook beliau (gambar kanan) semalam.
Syed Saddiq memberitahu The Malaysian Insider, beliau diugut sedemikian rupa sejak tahun lalu.
Syed Saddiq yang juga merupakan pengacara majlis pelancaran Deklarasi Rakyat baru-baru ini mengakui gambar itu merupakan gambarnya, namun menjelaskan ia diambil semasa pengumuman untuk pusingan kalah mati, pertandingan debat peringkat Asia.
“Saya bukan kaki ‘clubbing’ / disko seperti mana yang dituduh.
“Saya bukan manusia yang sempurna. Saya juga bukan Muslim yang sempurna. Saya seperti mana-mana manusia lain, pernah melakukan kesilapan. Tapi masa lalu tidak mendefinisikan siapa saya sekarang.
“Tanya sahaja pada ibu bapa saya, kawan-kawan terdekat malahan ustaz-ustaz saya, mereka kenal siapa saya. Saya sedang dalam proses untuk memperbaiki diri sendiri untuk menjadi lebih baik pada masa depan,” tulisnya.
Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan blog pro Umno-BN selepas ini akan memikirkan taktik lain untuk mendiamkannya daripada terus bersuara.
“Sudah tentu, mereka akan pergi pula ke keluarga saya, cari perkara lain dan tak akan berhenti. Mereka akan cuba buat apa cara dengan kehidupan peribadi saya.
“Tetapi akhirnya saya tidak akan berhenti. Banyak lagi perkara sengsara yang terjadi di negara ini daripada kehidupan peribadi saya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Dalam posting di Facebook beliau itu berkata, pihak yang menyebarkan gambarnya itu silap jika menyangkakan hal peribadinya akan mengaburi matanya dan rakyat daripada isu-isu sebenar yang sedang berlaku.
“Saya sudah menjelaskan dan ‘come clean’ about my past.
"Would the prime minister do the same on 1MDB? (saya sudah menjelaskan dan memberitahu perkara sebenar tentang kehidupan lampau saya. Adakah perdana menteri akan berbuat perkara sama mengenai 1Malaysia Development Berhad?),” soalnya. – 14 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments