bahasa
El Nino tak jejas penanaman padi di kawasan MADA
Jumlah takungan air di 3 empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencukupi bagi menampung sistem pengairan untuk penanaman padi Musim 1/2016 walaupun berdepan fenomena El Nino, kata Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz.
Katanya, jumlah takungan air di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning adalah sebanyak 1,233 juta meter padu dan berada pada tahap 81.77%, iaitu jauh mencukupi daripada keperluan semasa.
"Jumlah takungan di ketiga-tiga empangan adalah mencukupi kerana untuk menjalankan kerja pengairan bagi Musim 1/2016 sebanyak 679 juta meter padu diperlukan dan jumlah takungan itu adalah mencukupi.
"Kita akan meneruskan rancangan untuk mengairi kawasan MADA seluas 100,000 hektar, jadi para petani tidak perlu risau dan diminta untuk mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di Alor Star hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata MADA tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengitar semula air bagi memaksimum dan menjimatkan penggunaan air dari empangan.
"Sekarang kita pasang 105 pam yang digunakan untuk proses mengitar semula air di seluruh kawasan MADA dan proses ini dilihat dapat menjimatkan antara 10 hingga 20% bekalan air daripada empangan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Othman berkata MADA bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk menghasilkan palet bahan api yang dihasilkan daripada jerami padi dan beberapa bahan lain untuk dieksport ke Korea.
"Sebelum ini, petani akan membakar jerami selepas tamat proses menuai padi dan ini menyebabkan timbulnya isu pembakaran terbuka, tetapi selepas ini para petani boleh menjual jerami tersebut kepada MADA dan ini sekali gus dapat menambah sumber pendapatan mereka.
"Kilang yang terletak di Jerlun itu dijangka akan beroperasi menjelang akhir tahun ini dan saya yakin apabila kilang ini siap dan beroperasi sepenuhnya, ia dapat memberi keuntungan kepada petani," katanya menambah satu tan jerami boleh dijual dengan harga RM18. – Bernama, 13 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments