bahasa
Gerakan Selamatkan Malaysia dibiaya rakyat, tak ambil duit hartawan, kata Zaid
Gerakan Selamatkan Malaysia akan mendapatkan dana daripada rakyat untuk menyokong aktivitinya, kerana sekiranya menerima wang daripada ahli perniagaan, ia mungkin akan menimbulkan masalah.
Datuk Zaid Ibrahim, ahli pergerakan itu, berkata gerakan itu akan mengambil pendekatan "crowdfunding" (dibiaya orang ramai) dan tidak akan mendapatkan bantuan kewangan daripada para hartawan.
"Kami tidak akan mendapatkan bantuan kewangan daripada hartawan dan segala Jho Low di dunia ini, semata-mata kerana, mendapatkan 'bantuan' daripada ahli perniagaan sebagai pertukaran kepada sesuatu yang kita kehendaki, adalah punca rasuah sistemik.
"Sama ada kita ikut laluan orang seperti Jho Low atau kita dapatkan sokongan daripada orang biasa untuk membiayai masa depan politik negara ini," katanya dalam blognya, The Zaidgeist hari ini.
Beliau merujuk kepada ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan yang rapat dengan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kami tidak akan tukar bantuan kewangan dengan pertolongan. Benih rasuah ditanam apabila ahli politik menerima wang dari ahli perniagaan. Kitaran ganas ini mesti berhenti," tulis Zaid.
Beliau berkata, persoalannya ialah sama ada rakyat akan bersedia untuk "mengaku dan menuntut semula negara ini daripada oligarki".
"Kita mesti beri rakyat peluang menyumbang (kepada) perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik.
"Saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk membuat komitmen peribadi yang kecil, walaupun RM10, untuk menunjukkan mereka mengambil berat tentang masa depan kita bersama."
Gerakan itu, diterajui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bertujuan menyelamatkan negara ini daripada rasuah sistemik dan menjatuhkan Najib, yang pentadbirannya dicemari dakwaan penglibatan dalam skandal kewangan.
Zaid juga berkata, gerakan itu tidak akan lenyap begitu saja seperti yang didakwa pemimpin Umno.
"Gerakan ini boleh membantu menghentikan kes pemberhentian pekerja yang semakin menjadi-jadi.
"Ia boleh membantu memastikan pekerja kita mempunyai pekerjaan yang baik dan dibayar secara adil.
"Gerakan Selamatkan Malaysia juga boleh menghentikan kebanjiran buruh asing yang murah.
"Pergerakan kami bertujuan memulihkan demokrasi dan tadbir urus yang baik.
"Malaysia sekali lagi akan ditadbir dengan undang-undang yang dilaksanakan secara adil oleh agensi penguatkuasaan seperti polis yang menjaga semua rakyat, bukan hanya mereka yang menyokong perdana menteri sekarang," katanya.
Dr Mahathir pada 4 Mac memulakan Deklarasi Rakyat, yang ditandatangani beberapa pemimpin Umno yang tidak lagi menyokong Najib dan pemimpin parti pembangkang serta kumpulan masyarakat sivil.
Kumpulan itu kemudiannya ditukar nama kepada Gerakan Selamatkan Malaysia, yang kini menyasarkan sejuta rakyat Malaysia di seluruh negara menandatangani petisyen menuntut peletakan jawatan Najib. – 10 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments