bahasa

GST selamatkan ekonomi Malaysia, kata Najib

Kerajaan berjaya mengutip RM51 bilion pendapatan apabila GST dilaksanakan tahun lalu, berbanding RM37.2 bilion pada 2014, sekali gus membantu ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.Kerajaan berjaya mengutip RM51 bilion pendapatan apabila GST dilaksanakan tahun lalu, berbanding RM37.2 bilion pada 2014, sekali gus membantu ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.Menjelang penyusunan semula Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat Malaysia yang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada masalah.

"Keadaan ekonomi dan kewangan Malaysia sangat stabil ekoran pelaksanaan GST," kata Najib dalam ucapannya di Hari Kastam Sedunia ke-34 sebagaimana dilaporkan Bernama, hari ini.

Beliau juga memaklumkan, RM51 bilion hasil termasuk daripada GST dikutip tahun lalu, berbanding RM37.2 bilion pada 2014, tanpa cukai itu.

GST yang dikenakan sebanyak 6% diperkenalkan pada April tahun lalu.

Najib juga memberitahu kakitangan awam, kejayaan kerajaan meningkatkan hasil melalui GST menyelamatkan pekerjaan mereka, lapor Malaysiakini.

"Dalam suasana sekarang di mana harga minyak mentah jatuh kepada AS$30 setong, kita boleh mengekalkan kakitangan awam – tidak ada seorang pun daripada mereka termasuk kakitangan kontrak diberhentikan," kata Najib sebagaimana dipetik.

Terdapat kira-kira 1.5 juta kakitangan awam di Malaysia dan mereka menerima RM500 bonus pada awal bulan ini.

Menurut New Strait Times, terdapat 10,000 kakitangan kontrak yang bekerja dengan kerajaan sekarang.

Sejak kebelakangan ini, Najib sering memberitahu GST adalah penyelamat rakyat dan ekonomi negara walau menyedari ia tidak popular.

Katanya, hasil cukai ini membolehkan Putrajaya meneruskan programnya termasuk memberikan biasiswa dan sumbangan wang tunai melalui BR1M.

"GST bukan bertujuan untuk membebankan rakyat tetapi ia adalah penyelamat rakyat," kata Najib dalam ucapannya hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan pengumuman penyusunan semula Bajet 2016 hari ini dengan memberikan penekanan Malaysia tidak berada dalam kemelesetan ekonomi.

"Kita tidak berada dalam meleset atau meleset teknikal.

"Ini suasana yang mesti difahami," kata Najib sebelum mengumumkan tindakan untuk menyusun semula bajet yang katanya akan membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran ekonomi yang di luar dari kawalan kerajaan ini. – 28 Januari, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments