bahasa
Halang penceramah bantut perkembangan mahasiswa, kata Pemuda PKR
Universiti mesti menghentikan tindakannya menyekat penceramah yang mengkritik kerajaan kerana ini hanya akan membantutkan perkembangan pelajar, kata Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, universiti sepatutnya menjadi platform untuk mendedahkan pelajar kepada idea berbeza.
"Malangnya, tingkah laku pentadbir universiti merupakan satu amalan salah terhadap pelajar mereka sendiri, kerana ia seolah-olah mereka menafikan wujud perbezaan dalam idea dan suara masyarakat hari ini.
"Tingkah laku seperti ini hanya akan membantutkan kematangan minda belia kita," kata Fahmi dalam satu kenyataan, mengulas tindakan menghalang juara debat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap di beberapa institusi pengajian tinggi awam.
Semalam, pelajar tahun akhir jurusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu membidas Kementerian Pengajian Tinggi selepas dihalang daripada bercakap di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Awal minggu ini, Syed Saddiq dilarang daripada bercakap di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) pada saat-saat akhir.
Acara Uniten itu dibatalkan manakala program di Usim itu ditangguhkan.
Bekas Felo Perdana itu muncul sebagai pengkritik Najib, baru-baru ini mengasaskan kumpulan belia Challenger, yang mengeluarkan kenyataan pertamanya menolak kepimpinan perdana menteri.
Oktober lalu, beliau menulis kenyataan pedas terhadap Najib di posting Facebook beliau menyifatkan perdana menteri sebagai "memalukan negara".
Syed Saddiq juga pengacara pada majlis pelancaran Deklarasi Rakyat dan gerakan Selamatkan Malaysia, yang dimulakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu dan merupakan penandatangan termuda deklarasi itu. – 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments