bahasa

Hotel patuh syariah bukan sekadar sedia sejadah, arah kiblat

Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin berkata, beliau sering dikunjungi pengusaha hotel dari negara bukan Islam seperti Korea, China, Jepun dan Eropah datang menemu ramahnya untuk lebih memahami konsep patuh syariah yang diperkenalkan di Hotel De Palma. – Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 14 Mac, 2016.Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin berkata, beliau sering dikunjungi pengusaha hotel dari negara bukan Islam seperti Korea, China, Jepun dan Eropah datang menemu ramahnya untuk lebih memahami konsep patuh syariah yang diperkenalkan di Hotel De Palma. – Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 14 Mac, 2016.Walaupun jumlah hotel berkonsepkan patuh syariah di negara ini tidak banyak berbanding bilangan hotel konvensional seperti sedia ada, namun ia sudah diterima ramai dan negara bukan Islam sudah mula meniru konsep sedemikian, kata Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma itu, beliau sering dikunjungi pengusaha hotel dari negara bukan Islam seperti Korea, China, Jepun dan Eropah datang menemu ramahnya untuk lebih memahami konsep patuh syariah yang diperkenalkan di Hotel De Palma.

Ini kerana katanya, pengusaha hotel bukan Islam sudah mula melihat masa depan yang baik sekiranya mereka menyediakan sebuah hotel untuk keperluan umat Islam.

"Kerana dalam dunia ini ada 1.8 bilion umat Islam, untuk menjaringkan sasaran pasaran ini, mereka sedia mewujudkan satu hotel berkonsepkan ‘muslim-friendly’ dan mungkin seterusnya boleh dibawa kepada hotel syariah.

"Korea hari ini, disebabkan filem mereka, boleh dikatakan semua suri rumah menonton drama Korea dan lama-kelamaan mereka mahu pergi ke Korea. Tapi pergi sana tak dapat merasa makanan Korea kerana ia tidak menyediakan makanan halal.

“Jadi saya beri kesedaran seperti itu kepada mereka (pengusaha hotel dan restoran)," katanya kepada The Malaysian Insider di Hotel de Palma Ampang, Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun hotel itu diperkenalkan dengan istilah "patuh syariah", namun Ilyas menjelaskan ianya lebih tepat jika mengatakannya "mesra umat Islam".

Ini kerana, katanya, sekiranya benar-benar mengikuti patuh syariah, kemungkinan kolam renang dan tempat makan perlu diasingkan antara lelaki dan perempuan, tetapi tidak di sini.

Beliau menceritakan, pada mulanya beliau mendapat pelbagai cabaran dan kritikan sewaktu mewujudkan hotel tersebut di cawangan pertama di Ampang kerana tidak menyediakan alkohol dan bercorakkan Islamik, namun beliau tetap berpegang dengan pendiriannya untuk meneruskan konsep hotel sedemikian.

"Memang saya akui ada orang cakap ia tidak akan bertahan lama, akan "bungkus" selepas itu, tapi kita sedia maklum, segala perkara baik yang dilakukan akan terdapat banya cabaran, prasangka tak baik dan sebagainya, tapi kalau kita yakin sebagai seorang Islam yang rezeki itu dari Allah, apa yang diharamkan Allah itu pastinya ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Tambahnya, jika pelancong asing ke sesuatu negara itu, mereka mahukan sesuatu yang berlainan daripada apa yang ada di negara mereka, seperti budaya dan amalan sesebuah negara tersebut, katanya yang merujuk kepada pendirian beliau untuk tidak menyediakan alkohol dan bar di hotel.

Hotel berkonsepkan patuh syariah bukan sekadar menyediakan sejadah dan arah kiblat sahaja, tetapi turut mengamalkan nilai-nilai Islam, kata Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma, Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin. – Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 14 Mac, 2016.Hotel berkonsepkan patuh syariah bukan sekadar menyediakan sejadah dan arah kiblat sahaja, tetapi turut mengamalkan nilai-nilai Islam, kata Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma, Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin. – Gambar The Malaysian Insider oleh Fiqah Mokhtar, 14 Mac, 2016.Ketika ditanya mengenai sama ada hotel yang mengamalkan konsep patuh syariah sejak hampir 9 tahun itu membenarkan pasangan bukan muhrim daftar masuk ke situ, Ilyas berkata, itu bukan di bawah kawalannya, sambil menganggap perkara sedemikian tidak mungkin berlaku kerana suasana yang Islamik seperti melaungkan azan tepat pada waktu solat dan pemasangan ayat suci Al Quran di hotel itu akan membuatkan pasangan seperti itu membatalkan niat mereka.

"Yang itu saya serahkan kepada pihak berwajib. Itu bukan kerja saya. Saya punya kerja menyediakan suasana yang mungkin tidak sesuai kepada mereka yang berniat tidak baik tinggal di sini... suasana yang contohnya kalau mereka nak datang ke sini tengok orang tutup aurat, mengaji, sembahyang.

"Soalan seperti ini juga pernah ditanya seorang menteri. Dia kata kalau macam ini punya suasana, macam mana nak buat benda tak baik. Katanya memang orang lari balik.

"Saya punya tugas menyediakan satu suasana yang tidak sesuai pada mereka berniat tidak baik dan suasana yang sama boleh diterima pakai kepada mereka yang senang untuk terima konsep seperti ini," katanya.

Hotel De Palma mempunyai 3 cawangan iaitu di Ampang, Shah Alam dan Kuala Selangor.

Beliau berkata, idea mewujudkan hotel patuh syariah tercetus setelah beliau pulang dari Mekah dan melihat masyarakat di sana memandang mereka yang bekerja di hotel sebagai orang yang tidak berakhlak baik.

Beliau yang pernah berkhidmat di Hotel Hilton selama 20 tahun sejak 1972 dan pernah memegang jawatan sebagai pengurus residen di Hilton Kuala Lumpur dan Petaling Jaya itu merasakan persepsi sedemikian harus dibuang.

Katanya, kakitangannya yang 90% beragama Islam di Hotel De Palma itu akan diterapkan dengan nilai-nilai Islam seperti diwajibkan menutup aurat, sembahyang, dan diberikan orientasi 3 hari mempelajari ilmu agama Islam secara asas.

Hotel itu turut menyediakan masjid di tingkat 3 yang dapat memuatkan sehingga 2,000 orang jemaah dan mengadakan solat Jumaat di situ bagi kemudahan pekerja, pelanggannya dan orang setempat.

Mengulas mengenai pandangan beliau tentang beberapa hotel yang sudah mula mengamalkan hotel berkonsepkan syariah atau mesra umat Islam, beliau berpendapat sudah banyak daripada mereka yang mengguna pakai konsep sedemikian, tetapi penghayatan itu penting, bukan sekadar menyediakan sejadah dan arah kiblat sahaja, tetapi turut mengamalkan nilai-nilai Islam.

Sementara itu, The Malaysian Insider cuba mendapatkan jumlah serta corak hotel berkonsepkan patuh syariah di negara ini.

Menurut presiden Persatuan Hotel Malaysia Cheah Swee Hee, pihaknya buat masa ini tidak mempunyai statistik yang menunjukkan hotel seperti itu di Malaysia dan tidak mempunyai klasifikasi untuk kategori hotel sebegitu.

Cheah berkata, hanya segelintir hotel yang mengklasifikasikan mereka dengan status sedemikian.

"Ini boleh menjurus kepada gambaran yang salah kerana tiada garis panduan untuk hotel patuh syariah.

"Saya percaya yang membezakan hotel patuh syariah adalah mereka mengamalkan nilai-nilai Islamik pada perniagaan mereka. Kebanyakan hotel mempunyai kemudahan asas untuk umat Islam untuk umat Islam seperti surau, sejadah di dalam bilik, arah kiblat, penyediaan makanan dengan sijil halal,"  katanya kepada The Malaysian Insider dalam jawapannya melalui emel.

Ketika diminta mengulas sama ada hotel patuh syariah lebih menerima sambutan dari pelancong Timur Tengah, Cheah berkata, pelancong dari Timur Tengah lebih memilih hotel peranginan pantai berbanding patuh syariah. – 14 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments