bahasa

Ibu bapa Orang Asli masih enggan hantar anak ke SK Tohoi

Kini hanya murid dari Kampung Penad dan Simpor di Gua Musang yang belum datang ke sekolah sejak sesi persekolahan 2016 bermula Januari lepas kerana ibu bapa terbabit bimbang keselamatan anak-anak mereka, kata Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Kini hanya murid dari Kampung Penad dan Simpor di Gua Musang yang belum datang ke sekolah sejak sesi persekolahan 2016 bermula Januari lepas kerana ibu bapa terbabit bimbang keselamatan anak-anak mereka, kata Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Jabatan Pendidikan Kelantan akan meneruskan usaha memujuk ibu bapa 66 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang tinggal di Kampung Penad dan Simpor di Gua Musang, supaya menghantar anak mereka ke sekolah itu.

Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata kini hanya murid dari 2 kampung itu yang belum datang ke sekolah sejak sesi persekolahan 2016 bermula Januari lepas kerana ibu bapa terbabit bimbang keselamatan anak-anak mereka.

"Kita sudah selesai semua tuntutan ibu bapa supaya ditingkatkan keselamatan sekolah itu dengan perbelanjaan lebih RM500,000 termasuk membina pagar baharu dan sekarang tidak ada masalah lagi mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tohoi di Gua Musang, hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof serta Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah.

Ab Aziz berkata jumlah murid yang hadir ke sekolah yang turut dilengkapi asrama itu setakat ini ialah 121 murid daripada 187 murid berdaftar.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan program turun padang ke perkampungan Orang Asli terbabit untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya pendidikan untuk anak masyarakat tersebut.

Selain itu, beliau turut berharap tragedi yang menimpa tujuh murid SK Tohoi pada tahun lepas itu tidak menjadi penghalang untuk ibu bapa Orang Asli memberikan akses pendidikan kepada anak-anak mereka, katanya.

Ogos tahun lepas, 7 murid SK Tohoi bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Hampir 50 hari hilang, Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan di situ.

Selain Miksudiar dan Norieen, lima lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin dan Kampung Penad.

Lebih memilukan, 4 daripada kanak-kanak itu - Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati. Seorang lagi mangsa, Sasa, belum ditemui. – Bernama, 12 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments