bahasa

Isu tempatan, bukan negara, kuasai kempen pilihan raya Sarawak

Pemerhati politik berkata pilihan raya negeri Sarawak kali ini tidak mempunyai banyak isu nasional untuk dibangkitkan, terutamanya oleh Pakatan Harapan bagi menarik pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Pemerhati politik berkata pilihan raya negeri Sarawak kali ini tidak mempunyai banyak isu nasional untuk dibangkitkan, terutamanya oleh Pakatan Harapan bagi menarik pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Kebanyakan pemerhati politik bersetuju pilihan raya negeri Sarawak kali ini tidak mempunyai banyak isu nasional untuk dibangkitkan, terutamanya oleh Pakatan Harapan bagi menarik pengundi.

"Dalam pilihan raya lalu, mereka (pembangkang) ada Taib sebagai isu untuk menarik undi," kata penganalisis politik Profesor James Chin merujuk kepada bekas ketua menteri Tun Abdul Taib Mahmud.

"Kini beliau tiada, mereka kehilangan isu utama," kata pengarah Institut Asia Universiti Tasmania itu, mengenai ketua menteri selama 33 tahun yang sering dituduh pembangkang sebagai rasuah dan mengamalkan nepotisme.

Taib yang meletak jawatan pada Februari 2014, kini menjadi gabenor Sarawak.

Chin berkata, pembangkang akan terpaksa sedaya upaya berusaha memecahkan populariti meluas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

"Pembangkang tidak mempunyai sebarang cerita kotor tentang beliau. PKR dan DAP tiba-tiba mendapati mereka tidak mempunyai sebarang kelebihan."

Ketua PKR negeri, Baru Bian, dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider berkata pembangkang kehilangan satu lagi isu utama apabila Adenan mengambil alih dari pembangkang dalam menangani isu nasionalis yang popular.

"Kini sukar bagi pembangkang untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba Kelalan itu menambah, isu seperti memperjuangkan hak rakyat Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963, royalti minyak, hak dan autonomi negeri, sekian lama dimainkan pembangkang, kini agresif diperjuangkan Adenan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol memberitahu The Malaysian Insider, "isu-isu tempatan" dijangka akan menguasai pada pilihan raya negeri kali ini.

"Ia mengenai isu asas, terutamanya di kawasan luar bandar, di mana terletaknya 2/3 daripada kerusi.

"Mereka akan bertanya, 'di mana jalan raya saya, di mana bekalan elektrik saya, mengapa saya masih tidak mempunyai bekalan air bersih’.

"Di kawasan bandar, mereka mungkin akan bertanya perkara lain," kata Abdullah.

Ditanya mengenai isu negara seperti dana RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kemelut 1MDB serta pergolakan dalam Umno, beliau berkata:

"Ya, mereka ada bercakap tentangnya dan juga membincangkan isu-isu itu tetapi saya fikir mereka tidak kisah apa yang berlaku kepada Najib atau apa yang (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad) cuba lakukan kepada Najib," kata Abdullah yang juga Adun Semop.

"Tiada siapa terutama di kawasan luar bandar mengambil berat tentang semua hal politik yang berlaku di Semenanjung.

"Mereka ini lebih berminat untuk memperbaiki kehidupan, seperti dengan mempunyai infrastruktur asas lebih baik, sekolah lebih baik, perkhidmatan kesihatan lebih baik."

Beliau menyebut hak tanah adat Bumiputera (NCR) sebagai satu contoh isu yang dekat di hati masyarakat negeri itu.

Tetapi, katanya, isu NCR mungkin hanya menjadi perhatian di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk kaum Iban, tidak di kawasan pilihan raya lain.

Baru berkata isu agama tidak akan menjadi besar sepertimana dijangkakan kerana ia hanya terhad kepada kawasan konservatif seperti Kelabit Highlands yang diwakilinya.

Chin berkata, mungkin terlalu awal untuk menjangkakan apa isu utama yang akan diketengahkan pada musim kempen yang akan datang.

"Tunggulah, kita pun sudah semakin hampir (dengan pilihan raya). Kawasan Cina pasti akan menarik untuk diperhatikan," katanya. – 11 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments