bahasa
Ramai penyokong tidak terima kerjasama dengan Dr Mahathir, kata ahli Pakatan
Ramai aktivis dan ahli parti Pakatan Harapan kini menggunakan pepatah Melayu "menjilat ludah sendiri" bagi menggambarkan rasa meluat mereka terhadap Deklarasi Rakyat yang dimeterai 4 Mac lepas, menurut sumber dalaman gabungan parti pembangkang itu.
Mereka memberi amaran, langkah ini boleh menghalang kumpulan itu mendapat sokongan diperlukan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletakkan jawatan.
Sokongan daripada ahli Pakatan adalah penting terhadap deklarasi itu memandangkan ia tidak mendapat sokongan dari dalam Umno walaupun dengan kehadiran bekas presiden paling berpengaruh parti, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pepatah itu ditujukan mereka kepada ahli politik Pakatan yang tanpa segan silu berganding bahu dengan Dr Mahathir menandatangani deklarasi itu.
"Ramai daripada aktivis itu, terutamanya daripada era reformasi masih ingat diserang dengan gas pemedih mata dan dikasari polis pada perhimpunan ketika pentadbiran Dr Mahathir," kata sumber dalaman Pakatan.
"Mereka benar-benar marah kepada Dr Mahathir dan semua yang dilakukannya," kata sumber itu yang juga bekas aktivis reformasi pada era 1990-an.
Aktivis muda yang terlibat dengan parti Pakatan seperti DAP dan PKR selepas pilihan raya umum 2008, juga kecewa, kata pemimpin DAP Selangor Edry Faizal Eddy Yusof.
"Mereka ini tahu dan sedar masalah negara semuanya bermula dengan Dr Mahathir. Mereka tidak dapat terima melihat pemimpin mereka dengan mudah menyokong beliau," kata Edry yang juga antara aktivis lantang DAP berusia bawah 30an.
Pada majlis deklarasi bersama Dr Mahathir itu, antara pemimpin Pakatan yang hadir termasuk nama-nama paling dihormati seperti Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Chua Tiang Chang.
Ketiga-tiga individu ini pernah berpengalaman sebagai tahanan politik semasa 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir.
Namun, Edry tidak melihat kritikan daripada ahli parti ini sebagai penghalang tetapi satu mekanisme semak dan imbang yang penting kepada inisiatif ini.
Rasa ragu-ragu ini akan memastikan pemimpin Pakatan yang menandatangani deklarasi itu tidak digunakan Dr Mahathir.
"Ini kerana, beliau ini seorang yang sangat licik. Oleh itu, kita perlu memastikan kita tidak ditipu," kata Edry.
Tuntutan untuk Anwar
Bagaimanapun, kebanyakan yang pada awalnya marah kembali tenang, kata seorang lagi ahli pembangkang, selepas musuh lama Dr Mahathir dan anak didiknya sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu.
"Jika Anwar pun boleh mengatakan beliau menyokongnya, mengapa tidak orang lain?" soalnya.
Anwar dipecat Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, dan selepas satu perbicaraan mahkamah yang sangat kontroversi, beliau dipenjara selama 6 tahun
Namun, biarpun penyokong pembangkang tidak lagi melahirkan kemarahan, ini tidak secara automatik bermakna mereka bersetuju menandatangani deklarasi tersebut.
"Kami mahu tuntutan pembebasan Anwar yang pertama dipenuhi. Selepas itu baru kami akan desak Najib meletak jawatan," kata Saari Sungib, antara ahli 'Otai Reformasi' yang mengumpulkan aktivis mengetuai gerakan menyingkirkan Dr Mahathir pada lewat 1990-an.
Saari, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri untuk penggal ke-2 di Selangor, dijatuhi hukuman penjara 2 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas tuduhan cubaan menggulingkan kerajaan.
Saari berkata, beliau hanya akan menandatangani deklarasi itu jika tuntutan pembebasan Anwar turut disenaraikan, permintaan yang boleh meyakinkan mereka yang skeptis terhadap komitmen Dr Mahathir kepada pembaharuan institusi.
"Dr Mahathir tidak boleh dipercayai untuk melaksanakan pembaharuan ini tetapi Anwar boleh. Itulah sebabnya dia perlu dibebaskan dan menggantikan Najib."
Terdapat tanda Pakatan menyedari permintaan ini kunci untuk mendapatkan persetujuan yang mereka mahukan.
Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil berkata Pakatan melancarkan ceramah dan perhimpunan untuk menjelaskan deklarasi itu dan juga menekankan kepada rakyat yang melepaskan Anwar merupakan sebahagian daripada agenda menggantikan Najib.
"Saya percaya pemimpin Pakatan dan semua terlibat dalam deklarasi itu mesti menggunakan peluang ini menerangkan kepada mereka di kawasan pilihan raya masing-masing, terutamanya golongan muda dan mereka yang sangat marah dengan pentadbiran Najib."
Bagi mereka yang menyokong deklarasi itu, seperti Edry Faizal bukan pemimpin dalam Pakatan yang sebenarnya perlu menjilat semula ludah ke atas Dr Mahathir.
"Dengan menandatangani deklarasi bersama pemimpin seperti Kit Siang, Dr Mahathir yang sebenarnya menjilat semula ludahnya sendiri.” – 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments