bahasa

Keputusan tamatkan perkhidmatan Dr Mahathir wajar, kata Idris Jusoh

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh berkata keputusan menamatkan perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas adalah keputusan sebulat suara Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac 2016.	Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh berkata keputusan menamatkan perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas adalah keputusan sebulat suara Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac 2016. Keputusan menamatkan perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah wajar kerana beliau bersekongkol dengan pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan yang sah, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata keputusan itu adalah sebulat suara Kabinet semalam kerana jawatan itu biasanya diberi kepada mereka yang mendukung kerajaan sedia ada.

"Sekarang Dr Mahathir bukan hanya bersama pembangkang tetapi jelas berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang sah yang diundi rakyat dan beliau patut digugurkan sebagai penasihat Petronas,” katanya selepas bersama kira-kira 1,000 peserta menyertai larian amal, Putra-Makna Run 2016 di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kabinet bersetuju sebulat suara menamatkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas kerana berpendapat beliau tidak lagi mendukung kerajaan dan sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata kabinet yang membincangkan tindakan-tindakan bekas perdana menteri itu khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara bersama pemimpin pembangkang, minggu lepas.

Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat Petronas selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003. Beliau juga merupakan pengerusi Proton Holdings sejak Jun 2014.

Mengenai kontroversi politik susulan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada Selasa lalu, Idris berkata ia dijangka membolehkan Razif mentadbir negeri itu dengan lebih selesa berikutan sokongan yang diperolehnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Terengganu sudah tenang. Sambutan (terhadap) menteri besar semakin baik sekarang.

“Usaha menjatuhkan Razif gagal dan kita akan terus memberi kerjasama kepada beliau untuk menjalankan tugas sebagai menteri besar Terengganu dengan baik,” katanya.

Selalu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Razif semasa sesi perbahasan atas titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Namun, Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul itu. – Bernama, 12 Mac, 2016.           

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments