bahasa
Kerajaan tidak benar ambil pekerja asing baharu, kata Zahid
Kerajaan menetapkan tidak akan mengambil pekerja asing baharu untuk dibawa masuk ke negara ini berkuat kuasa serta-merta, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, beliau berkata ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah.
Katanya mana-mana majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang tamat tempoh visa pekerjaan.
"Selain itu, mereka juga boleh mengambil pekerja asing yang tidak berdokumen atau yang tidak didaftarkan di bawah Program 6P (Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin)," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan ketua-ketua kampung kawasan Parlimen Bagan Datoh sesi 2016-2017 di Hutan Melintang, hari ini.
Zahid, yang juga menteri dalam negeri berkata susulan keputusan Kabinet itu, isu membawa masuk seramai 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh boleh dianggap “tutup”.
Pada 25 Jun lalu, Zahid berkata sebanyak 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.
Timbalan perdana menteri menegaskan mana-mana majikan atau ejen yang didapati melindungi pekerja asing tanpa izin akan dikenakan hukuman sebat berkuat kuasa serta-merta.
Hukuman sebat itu dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63, katanya.
"Harus diingatkan hukuman sebat akan dijatuhkan mahkamah kerana hukuman cara denda tidak memberi kesan kerana majikan serta ejen-ejen terus membawa masuk pekerja asing tanpa izin ini," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Zahid berkata hukuman sebat itu juga bertujuan membersihkan imej kerajaan yang selama ini dituduh cuba mengaut keuntungan dengan membawa masuk pekerja asing.
"Ini merupakan amaran terakhir, jangan salahkan kerajaan...menuduh kerajaan kononnya membawa lebih daripada 2 juta pekerja tanpa izin," katanya.
Beliau berkata kerajaan memberi ruang dan peluang yang secukupnya kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka menerusi program penggajian semula yang akan berakhir 30 Jun ini.
"Walaupun Kementerian Dalam Negeri mengumumkan ia (program penggajian semula) akan berakhir 31 Disember ini, tetapi kerajaan memutuskan tempoh itu dipendekkan," katanya.
Zahid menyarankan mana-mana majikan yang mahu mendapatkan khidmat pekerja asing mengemukakan permintaan itu kepada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia.
"Sila berhubung terus dengan ketiga-tiga persatuan itu bagi memudahkan mereka menguruskan pekerja tempatan untuk bekerja di syarikat masing-masing," katanya.
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya mengingatkan semua ketua kampung pelantikan mereka bukan satu hadiah, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat.
"Kalau kita melanggar etika itu, kita perlu membayar harga yang tinggi untuk kesilapan tersebut," katanya. – Bernama, 12 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments