bahasa

Ku Li cadang ahli Parlimen isytihar harta

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata pengisytiharan harta itu perlu dibuat secara berkala dengan penubuhan sebuah badan bebas yang dibentuk melalui Akta Parlimen. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli , 17 Mac, 2015.Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata pengisytiharan harta itu perlu dibuat secara berkala dengan penubuhan sebuah badan bebas yang dibentuk melalui Akta Parlimen. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli , 17 Mac, 2015.Pemimpin Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar ahli Parlimen melakukan pengisytiharan harta bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pengisytiharan harta itu perlu dibuat secara berkala dengan penubuhan sebuah badan bebas yang dibentuk melalui Akta Parlimen.

"Satu perkara yang ada hubung kait dengan pertelingkahan kepentingan dan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasinya ialah pengisytiharan harta dan liabiliti.

"Pengisytiharan ini hendaklah merangkumi ahli Kabinet dan ahli Parlimen dahulu dan sekarang serta juga mereka daripada sektor awam dan swasta di peringkat mempunyai kuasa membuat keputusan, dahulu dan sekarang," katanya, ketika menyampaikan ucapan membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini.

"Pengisytiharan ini hendaklah dibuat secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen,” katanya.

Beliau turut berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga menteri kewangan tidak seharusnya mempunyai masalah pertelingkahan kepentingan.

"Perdana menteri dan menteri kewangan sekali-kali tidak harus berada dalam keadaan di mana terdapatnya pertelingkahan kepentingan.

"Barang diingat pertelingkahan kepentingan ini merupakan suatu masalah serius, perkara ini mungkin diterima oleh Dewan Rakyat selama ini merupakan sesuatu yang tidak baik kepadanya," katanya, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li. 

Susulan ucapannya itu, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong bertanyakan kepada Ku Li sama ada terdapatnya keperluan untuk melakukan pemisahan antara jawatan perdana menteri dan kementerian kewangan oleh individu yang sama.

"Adakah Yang Berhormat Mulia bersetuju perkara ini tidak harus terjadi, perlu pengasingan antara perdana menteri dan kementerian kewangan," kata Liew.

Ku Li berkata, perkara itu terpulang kepada individu tertentu dan adalah hak seseorang itu untuk menjawat seberapa banyak jumlah jawatan yang diingininya.

"Itu bergantung kepada cara pemerintahan dan cara Kabinet itu dibentuk.

"Kalau nak pegang 10 jawatan itu hak dia, kita cuma nak tahu kompeten atau tidak orang nak pegang banyak jawatan ini," katanya.

Ku Li turut berkata, negara ini sedang berhadapan krisis ekonomi serta penghakisan perpaduan nasional dan saling bertembung antara satu sama lain.

“Kini kita sedang menghadapi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kemerosotan ekonomi serta institusi yang dipertanggungjawabkan dengan mendaulat dan menegakkan pemerintahan melalui Undang-Undang dan Perlembagaan demokratik, dan penghakisan perpaduan nasional mendadak sekali dan bertembung antara satu sama lain. ‎

“Keadaan ini mencetus suatu krisis yang meresap ke akar umbi dan kita kini berada dalam keadaan kesesakan politik dan ekonomi,” katanya.

Keadaan itu, katanya memberi kesempatan kepada Dewan Rakyat memainkan peranan penting dalam perkembangan negara dan hanya ahli Parlimen yang mampu menyelesaikan “kesesakan” itu katanya.

“Keadaan ini memberi kesempatan kepada Dewan Rakyat untuk memainkan peranan penting dalam perkembangan negara kita. Tidak ada mana-mana institusi baik politik mahu pun bukan politik yang dapat mengatasi kesesakan ini kecuali Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

“Kita sedang mengalami cabaran yang tidak pernah berlaku dalam usaha kita memenuhi ikrar untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ini ialah kerana kuasa Dewan Rakyat beranjak kepada kepimpinan parti politik.

“Ia merupakan perkembangan di luar perlembagaan, anjakan kuasa kepada orang perseorangan ini bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, dan pastilah ia bukannya demokrasi berperlembagaan,” katanya lagi. – 17 Mac, 2015.

 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments