bahasa

Mahkamah arahkan anak Taib Mahmud bayar RM30 juta kepada bekas isteri

Hakim Muhammad Abdul Karim Wahab berkata tuntutan RM100 juta yang diminta Shahnaz Abdul Majid terhadap bekas suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib adalah berlebihan, sambil mengatakan RM30 juta memadai kepadanya selepas ditinggalkan suami. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Mac, 2016.Hakim Muhammad Abdul Karim Wahab berkata tuntutan RM100 juta yang diminta Shahnaz Abdul Majid terhadap bekas suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib adalah berlebihan, sambil mengatakan RM30 juta memadai kepadanya selepas ditinggalkan suami. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Mac, 2016.Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menganugerahkan Shahnaz Abdul Majid RM30 juta dalam tuntutan muta'ah (bayaran pendamai) yang difailkan beliau terhadap Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib. 

Hakim Muhammad Abdul Karim Wahab berkata tuntutan RM100 juta yang diminta Shahnaz adalah berlebihan, sambil mengatakan RM30 juta memadai kepadanya selepas ditinggalkan suami.

Pada 11 Mei 2011, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian antara Mahmud dan Shahnaz.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Raden Murya. 

Tuntutan RM100 juta sebagai bayaran pendamai oleh Shahnaz, yang merupakan kakak kepada penyanyi Datuk Sheila Majid, menarik perhatian kerana ia dijangka mendedahkan kekayaan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Hakim hari ini memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar jumlah wang itu secara 3 kali ansuran sebanyak RM10 juta setiap satu, bagi tempoh selang 3 bulan bermula penghujung Mac, Jun dan September tahun ini.

Hakim berkata fakta menunjukkan Shahnaz ditinggalkan seorang diri selama 10 tahun, di mana ketika itu defendan dikatakan mempunyai wanita lain dan juga berkahwin semula – tindakan berkenaan tidak boleh dimaafkan.

"Dia isteri yang sah semasa tuntutan itu.

"Dia terpaksa berdepan dengan kesedihan dan kesepian," kata Karim.

Hakim berkata, rumah dan 3 kereta yang diberikan kepada Shahnaz tidak termasuk dalam bayaran mutaah itu, tetapi berkata tuntutan RM100 juta itu tidak munasabah.

Beliau berkata mahkamah melihat kepada kemampuan defendan walaupun tiada kadar tertentu ditetapkan.

"Berdasarkan bukti beliau menghabiskan RM1 juta begitu saja pada satu ketika, mahkamah menganugerahkan RM30 juta kepada plaintif,” katanya.

Salah satu hujah dikemukakan pasukan peguam Mahmud Abu Bekir ialah seorang saksi, akauntan Andrew Heng yang menilai hartanya tanpa meneliti mana-mana tanah kelapa sawit dimilikinya.

Hakim hari ini berkata, mahkamah menerima hujah pasukan pembelaan tetapi mereka tidak mengambil peluang untuk menangkis keterangan Heng.

"Mahkamah tidak fikir keterangan tersebut sangat kuat, laporan mengenai penilaian berdasarkan kepada andaian.

"Tetapi pembelaan tidak menangkis kelemahan dalam keterangannya," kata hakim.

Sementara itu, peguam Mahmud Abu Bekir, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata beliau tidak bersetuju dengan komen hakim yang pihak pembelaan tidak menyangkal bukti Heng.

Zainul Rijal berkata, pihaknya sangat kecewa dengan keputusan itu dan akan memfailkan rayuan esok.

"Kami amat kecewa dengan keputusan itu.

"Kami akan merayu keputusan itu yang memberikan hak kepada Shahnaz mendapat mutaah dan kuantum," katanya. – 10 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments