bahasa

Malaysia pertama kali sambut Hari Lelaki Sedunia 19 November

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, cadangan menyambut Hari Lelaki Sedunia bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, cadangan menyambut Hari Lelaki Sedunia bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Malaysia buat pertama kali akan menyambut Hari Lelaki Sedunia pada 19 November ini, demikian diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata beberapa pihak mencadangkan supaya hari istimewa itu disambut di negara ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita yang diadakan selama ini.

Selain itu, kementerian turut bersetuju dengan cadangan menubuhkan rumah perlindungan lelaki terutama bagi golongan suami yang berdepan dengan krisis rumah tangga, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran serentak Program Kembara@KPWKM dan Kembara Kebajikan 1Malaysia di Kompleks Sukan Lundu di Lundu, hari ini.

Mengenai Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam), Rohani berkata program itu  berjaya mengeluarkan sejumlah 170,000 orang daripada belenggu kemiskinan menerusi program sosio ekonomi yang dilaksanakan.

“70% daripada jumlah itu adalah wanita,” katanya dan menambah mereka terbabit masih terus dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Rohani turut menyatakan sejumlah 500,000 rakyat negara ini yang kurang berkemampuan menerima bantuan kebajikan masyarakat membabitkan perbelanjaan RM1.5 bilion setahun.

Katanya, jumlah RM1.5 bilion itu adalah sumbangan daripada kerajaan pusat sementara beberapa negeri turut memberi sumbangan berasingan.

Beliau berkata kadar bantuan sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa, dan menambah sebanyak RM50 sebulan ditambah bagi elaun orang kurang upaya (OKU) membabitkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM66 juta setahun.

Mengenai Program Kembara Kebajikan 1Malaysia, Rohani berkata jelajah bermula dari Lundu dan singgah di beberapa destinasi di negeri ini, iaitu di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri sebelum ke Labuan, Sepanggar dan Beafort di Sabah.

Katanya, kembara akan bersambung dari Kuala Lumpur ke semua negeri di Semenanjung dan akan berakhir di Bagan Datoh, Perak pada 9 April.

"Sepanjang pengembaraan itu nanti pelbagai aktiviti akan diadakan di destinasi-destinasi perhentian termasuk melawat orang OKU, keluarga susah dan pesakit " katanya. – Bernama, 11 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments