bahasa

Marah Najib, rakyat Kedah sokong Dr Mahathir

 Rakyat Kedah masih menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad dan sesetengahnya turut menyokong Deklarasi Rakyat kerana pentadbirannya tidak banyak skandal serta tidak menyusahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016. Rakyat Kedah masih menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad dan sesetengahnya turut menyokong Deklarasi Rakyat kerana pentadbirannya tidak banyak skandal serta tidak menyusahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Tun Dr Mahathir Mohamad kekal popular di negeri kelahirannya Kedah, ketika Umno menyerang dan mengkritiknya kerana bekerjasama dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun Putrajaya menghukum Dr Mahathir dengan menamatkan khidmatnya sebagai penasihat Petronas, rakyat Kedah masih lagi mengingati legasinya di negeri utara itu. 

Memori penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah masih segar dalam ingatan dan mereka menyalahkan Najib terhadap langkah yang disifatkan sebagai percaturan politik semata-mata.

Pada sisi lain, mereka masih menghormati Dr Mahathir dan sesetengahnya turut menyokong Deklarasi Rakyat – gerakan bersama di antara pemimpin Umno, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyingkirkan Najib. 

"Tidak ada orang bercakap buruk berkaitan langkah Dr Mahathir yang menjalin kerjasama dengan pembangkang. Orang di Kedah ini majoriti tidak senang dengan Najib.

"Tindakan Najib menukar Mukhriz sebagai menteri besar tidak mendapat sokongan rakyat Kedah dan kami berdendam dengan tindakan orang Umno yang membodek Najib," kata Mohd Herman Rahim, 33, kepada The Malaysian Insider.

Herman yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen pernah disandang Dr Mahathir, Kubang Pasu, berkata mereka menyanjung tinggi negarawan itu kerana pentadbirannya tidak banyak skandal dan tidak menyusahkan rakyat.

"Semasa zaman Dr Mahathir, kami tidak dengar skandal peribadi dan kewangan seperti terpalit dengan Najib.

"Di bawah Najib, pelbagai skandal dan isu kami baca yang tidak menyenangkan dengan kerajaan.

"Kemudian ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat di bawah pemerintahan Najib menyebabkan rakyat semakin susah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hazriq Hamid, 31, juga berkongsi sentimen sama apabila menyalahkan tindakan Najib menukar Mukhriz yang juga anak Dr Mahathir sebagai punca rakyat Kedah semakin menolak Umno.

"Krisis MB lalu menyedarkan orang Kedah Najib cuba bermain politik dan menyelamatkan karier politiknya hingga menyebabkan Mukhriz tersingkir.

"Mukhriz merupakan anak Dr Mahathir, seorang negarawan yang disegani dan dihormati majoriti orang Kedah.

"Tindakan Najib itu pada masa sama menyebabkan orang ramai bersimpati kepada Dr Mahathir dan kecewa dengan tindakan pemimpin Umno yang bersekongkol," katanya.

Hazriq berkata, isu Dr Mahathir menjalin kerjasama dengan pembangkang seperti DAP yang menjadi musuh utama Umno bukan suatu isu besar kerana isu lebih penting ialah memastikan peletakan jawatan Najib.

"Ia bukan satu isu besar Dr Mahathir bersama DAP, lagipun deklarasi itu tidak ada menyebut mengenai kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang secara spesifik tapi ia hanya meminta Najib berundur," katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi Umno Kedah,  Mejar Anuar Abdul Hamid berkata setakat pertemuan dengan ahli-ahli di bawah masih belum ada rungutan atau bantahan terhadap tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan pembangkang.

Beliau merancang untuk menjelaskan dan menyebarkan Deklarasi Rakyat kepada ahli akar umbi supaya mereka lebih memahami mesej yang ingin disampaikan Dr Mahathir.

"Anak muda mereka mudah membaca, banyak sumber maklumat, tapi orang Umno yang lama-lama ini masih lagi bergantung kepada TV3, RTM dan Utusan Malaysia yang setiap hari menghentam Dr Mahathir," kata ketua Umno cawangan Jalan Badlishah itu.

"Mereka gunakan isu Dr Mahathir dan DAP untuk naikkan kemarahan orang Melayu khususnya orang Umno tapi mereka lupa sebaliknya rakyat sekarang sudah celik."

Katanya, rakyat Kedah lebih bimbangkan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan mereka setiap hari seperti isu harga getah dan padi yang gagal ditangani kerajaan berbanding kerjasama Dr Mahathir dengan DAP.

Lebih 50 individu menandatangani Deklarasi Rakyat termasuk Mukhriz, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada majlis pelancarannya, Dr Mahathir berkata satu kempen seluruh negara akan dilancarkan bagi menggembleng seramai mungkin orang untuk menandatangani deklarasi itu bagi menolak Najib. – 12 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments