bahasa

Menteri gesa kesatuan majikan bantu dapatkan pekerja asing sedia ada

Keputusan kerajaan menghentikan pengambilan baharu pekerja asing perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak terjejasnya sektor industri dan sektor lain yang memerlukan tenaga kerja, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Keputusan kerajaan menghentikan pengambilan baharu pekerja asing perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak terjejasnya sektor industri dan sektor lain yang memerlukan tenaga kerja, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Kesatuan majikan diharap dapat membantu majikan yang ingin menggaji pekerja asing sedia ada yang tiada dokumen sah berikutan keputusan Kabinet menghentikan pengambilan baharu pekerja asing ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan kerajaan itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak terjejasnya sektor industri dan sektor lain yang memerlukan tenaga kerja.

"Mana-mana syarikat yang memerlukan pekerja asing perlu mendapatkannya daripada pekerja asing tanpa izin sedia ada yang akan 'diputihkan', harus ada komunikasi antara majikan dan pihak berkaitan supaya dalam tempoh peralihan ini apabila ada isu berbangkit tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kajian Pertengahan Penggal Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Sesi 2014-2017 di Kota Baru, hari ini yang turut dihadiri Presiden NUTP Hashim Adnan dan Presiden  Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memutuskan tidak akan mengambil pekerja asing baharu untuk dibawa masuk ke negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Zahid berkata ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Kabinet Jumaat lepas itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah dan mana-mana majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang sudah tamat tempoh visa pekerjaan.

Mustapa juga berkata majikan juga perlu memberi keutamaan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, Azih menyarankan kesatuan majikan membantu menyediakan pekerjaan kepada rakyat dengan tawaran gaji yang baik serta faedah lain.

Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan supaya menambah anggota Jabatan Imigresen yang kini seramai 13,000 orang bagi mengawal sempadan negara dengan lebih berkesan.

"Kalau kita mahukan sempadan yang luas ini tidak bolos, operasi sentiasa berkesan, bilangan anggota Imigresen perlu ditambah.

"Kita tidak boleh bergantung kepada agensi penguatkuasa yang lain di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) seperti Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana Imigresen sendiri yang mempunyai kuasa ke atas perkara tersebut," katanya. – Bernama, 13 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments