bahasa
Sukar kemuka usul undi tak percaya terhadap Najib, kata Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan, sukar untuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikemukakan di Parlimen, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ia sukar dilaksanakan kerana terdapat ramai ahli Parlimen belum bersedia berbuat demikian, sedangkan untuk melaksanakan perkara itu, ia memerlukan suara majoriti.
“Itu salah satu daripadanya (usul undi tidak percaya) kalau jumlah bilangan memadai untuk membuat perubahan, tetapi saya lihat ia sukar dilaksanakan, kerana ahli-ahli Parlimen tidak bersedia dan berani menghadapi perkara itu sebagaimana banyak berlaku di negara maju.
“Di Malaysia budaya ‘the political of patriotism’ begitu mendalam. ‘Cash is king,’ apa saja boleh menjawab segala persoalan. Kita ada 222 jumlah kerusi di Parlimen, dan perlu 112 untuk majoriti mudah bagi melakukan perubahan.
“Bolehkah itu berlaku? Wallahualam. Kita tahu ada pihak tertentu yang berusaha buat tapi ia tidak berhasil. Kalau saya seorang, ia tidak akan berlaku, kita hendakkan suara majoriti,” kata bekas timbalan presiden Umno itu dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.
tindakannya menandatagani Deklarasi Rakyat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang sehingga dijadikan senjata pihak tertentu untuk menyerangnya, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ianya diputar belitkan.
Mengulas“Ia mungkin kerana perkara itu diputarbelitkan sedemikian rupa. Saya masih dalam Umno, apa yang saya lakukan untuk menyelamatkan Umno dan kerajaan.
“Walaupun saya tidak nafikan pihak sana tidak memandang dari sudut itu tetapi harap keadaan ini tidak menjadi teruk sehingga kita mungkin salah,” katanya apabila diminta mengulas mengenai cemuhan yang diterimanya.
Muhyiddin disingkirkan daripada Kabinet Julai lalu kerana lantang mengkritik penglibatan Najib dalam syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.
Muhyiddin turut menegaskan tindakannya itu bukan sebagai pengkhianat seperti yang didakwa sebelum ini.
“Kalau ini tidak berlaku keadaan akan bertambah teruk, yang akhirnya disebabkan Najib tidak berhenti, maka bebanan yang ditanggung itu akan ditanggung bersama parti dan akhirnya parti akan ditolak rakyat.
“Kerana itu, saya berani ke depan bukan kerana saya mengkhianati perjuangan, saya ada bertanggungjawab dan amanah walaupun saya tahu saya akan dicerca, digantung jawatan dan mungkin akan dipecat.
“Sepatutnya ahli Umno melihat saya sebagai usaha untuk menyelamatkan keadaan, bukan saya sebagai pengkhianat merosakkan parti.
"Tetapi kalau mereka berdiam diri, mereka akan terimalah bencana ini, bahana ini,” katanya sambil menyifatkan ahli Umno tidak mempunyai keberanian menghadapi realiti.
Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh tindakannya itu ekoran mahukan jawatan perdana menteri.
“Saya bukan berniat untuk menjadi perdana menteri.
"Ada sesetengah pemimpin, kawan-kawan di sebelah sana (kata), Muhyiddin ini tidak boleh hendak tunggu, ini mesti kerana dia orang nombor 2, (dia) hendak ambil alih (jadi perdana menteri).
“Tiada. Wallahi saya kata. Penentu segalanya adalah Allah. Kalau hendak jadi, maka jadilah. Kalau tidak jadi (perdana menteri) tidak apa,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau tidak memikirkan soal itu, tetapi lebih untuk menyelamatkan situasi daripada bersikap berdiam diri, bersubahat dengan kemungkaran dan akhirnya menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) tenggelam sehingga hilang kuasa. – 13 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments