bahasa
Najib ikrar tidak pinggir Orang Asli dalam agenda pembangunan negara
Kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana golongan masyarakat termasuk Orang Asli terpinggir dalam agenda pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata keprihatinan kerajaan memelihara kebajikan Orang Asli dapat dilihat hasil usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) melalui Asrama Darul Falah (Asdaf) dalam menyediakan pendidikan akademik rasmi kepada suku kaum Orang Asli dan menjaga kebajikan mereka secara berterusan.
"Alhamdulillah, petang tadi saya berkesempatan melawat Asdaf di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, yang diurus dan disediakan Perkim untuk anak-anak Orang Asli dari kawasan pedalaman," katanya menerusi catatan terbaru dalam blog beliau, www.najibrazak.com, hari ini.
Hasil tinjauan dan perbincangan bersama pengetua asrama, Zulyadain Mohd Radzi, perdana menteri diberitahu keadaan asrama berada dalam suasana kurang memuaskan dan perlu ditambahbaik untuk 42 orang anak-anak yang mendiaminya.
"Antaranya, katil, tilam dan bantal berada dalam keadaan uzur dan perlu diganti segera demi keselesaan anak-anak. Selain itu, keadaan surau, tangki air dan tandas juga memerlukan perhatian dan tindakan baikpulih akan segera diambil oleh komuniti sukarelawan belia Malaysia, 1M4U," katanya.
Najib berkata 1M4U juga akan mengadakan kelas tambahan Bahasa Inggeris kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini. Kelas Teknologi Maklumat (IT) dan peningkatan kemahiran vokasional akan turut dilaksanakan dengan kerjasama GiatMara.
Projek pemulihan jangka panjang akan dilakukan supaya anak-anak ini mendapat tempat tinggal lebih baik dan dapat belajar dalam keadaan yang lebih sempurna, katanya.
"Insya Allah, saya akan kembali melawat asrama ini bagi memastikan projek ini siap dilaksanakan," kata Najib. – Bernama, 10 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments