bahasa
Najib liabiliti terbesar Umno PRU14, kata Mukhriz
Datuk Seri Najib Razak adalah bebanan terbesar Umno pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang, kata bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya, Umno akan tewas pada PRU14 di peringkat negeri dan Persekutuan jika Najib terus memimpin.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Kota Baru, Kelantan, 7 Mac lalu.
"Sekarang ini mungkin kita rasa masih lagi selesa walaupun kita pembangkang di negeri, tetapi kerajaan pusat itu masih Barisan Nasional (BN), jadi kita masih lagi boleh hidup.
"Tetapi PRU14 ini, selagi Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai presiden percayalah, kerajaan BN akan tumbang di negeri dan juga di Persekutuan.
"Dan kalau ini berlaku, kita akan menyesal tak sudah. Dan waktu itu sudah terlambat keadaan," kata Mukhriz dalam video yang dimuat naik penulis blog pro-Umno yang dikenali sebagai Din Turtle.
Mukhriz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam berkata, ini merupakan sebab mengapa Najib perlu melepaskan jawatan.
"Itu sebabnya kita mendesak agar Najib ini undur segera, kita nak supaya dia undur dan serahkan jawatan perdana menteri itu segera.
"Dan kita akan gunakan masa yang ada ni, mungkin 2 tahun sampailah pilihan raya ni, untuk memulihkan keadaan.
"Peluang kita bukanlah saya nak kata cerah, kalau ada perubahan tapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada keadaan sekarang ini," kata Mukhriz.
Menurut Mukhriz, penolakan orang ramai terhadap BN kerana Umno amat ketara mutakhir ini.
"Sekarang ini, tanyalah siapa sekali pun, orang muda orang lama di dalam bandar di luar bandar pun, nak kata boleh atau pun tidak sokong BN dalam PRU14 ini, rata-rata geleng kepala.
"Yang kita dengar (mereka kata), tahulah apa kami nak buat PRU nanti!" kata Mukhriz. – 13 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments