bahasa
Najib tegas namun prihatin dalam pengubahsuaian Bajet 2016
Apabila berdepan masa sukar, perlu bertahan, kuatkan semangat dan harungi saat itu dengan berani.
Itulah pendekatan yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah lebih banyak lagi apabila semalam beliau mengumumkan langkah-langkah berhemah dalam pengubahsuaian Bajet 2016.
Langkah mengurangkan kos mengurus dan pembangunan itu akan menjimatkan sebanyak RM9 bilion dan “berhemah” kini menjadi perkataan penting tatkala kerajaan berusaha menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Perbelanjaan mengurus merupakan beban kewangan paling berat dipikul kerajaan kerana ia tidak seperti perbelanjaan pembangunan, sebagai contoh bayaran gaji bagi 1.4 juta penjawat awam tidak boleh dilewatkan atau dijadual semula.
Jaminan kerja menjadi ciri utama dan tradisi perkhidmatan awam Malaysia yang dicemburui banyak negara membangun.
Najib membawa khabar paling gembira buat penjawat awam apabila pada majlis bersempena Hari Kastam Sedunia yang disambut pada hari yang sama dengan pengumuman pengubahsuaian bajet itu, beliau memberi jaminan kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam termasuk golongan lantikan secara kontrak.
Kerajaan juga memberi jaminan pelaksanaan satu kenaikan gaji tahunan kepada penjawat awam seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016.
Susulan laporan media tentang pemberhentian pekerja secara mendadak dalam sektor swasta, majikan mereka dinasihat mencontohi langkah kerajaan itu dengan menjadikan tindakan sedemikian sebagai langkah terakhir dan meminimumkannya dengan cara melaksanakan amalan berhemah.
Namun sebuah negara bukan semata-mata membabitkan penjawat awam walaupun ia adalah tunjang pentadbiran dan sistem penyampaian kerajaan, dan perdana menteri secara jelas menyatakan keutamaan beliau adalah untuk meringankan beban rakyat.
Dan beliau menegaskan, realitinya ekonomi Malaysia masih stabil dengan mencatat pertumbuhan kukuh serta berdaya maju dan kompetitif.
Dan situasi yang sedang dihadapi bukan atas sebab kegagalan kerajaan untuk merancang tetapi berpunca daripada faktor di luar kawalan kerajaan, terutamanya dalam industri minyak dan gas yang membawa kepada kejatuhan mendadak harga minyak mentah.
Apabila Najib, yang juga menteri kewangan mengumumkan Bajet 2016 pada Oktober lepas, keupayaan kerajaan untuk berbelanja berdasarkan unjuran harga minyak AS$48 setong tetapi kini merudum kepada kira-kira AS$30, dan mungkin akan turun lagi.
Seperti biasa banyak pihak yang mengkritik ekonomi Malaysia dan ini tidak asing dalam mana-mana negara yang mempunyai pembangkang yang kuat tetapi jangan biarkan kita terperdaya ilusi atau persepsi khususnya apabila jelas terdapat pelbagai langkah berhemah diambil, yang mampu menanganinya.
"Pastinya, setiap keputusan yang kita ambil hari ini adalah demi kebaikan rakyat dan sudah tentu akan tercatat dalam sejarah. Lagipun, Malaysia bukannya sebuah negara yang gagal atau bankrap seperti didakwa," kata perdana menteri.
Apabila Najib menyatakan apa yang diputuskan kerajaan hari ini akan tercatat dalam sejarah, tidak keterlaluan untuk mencadangkan apa yang beliau maksudkan adalah berhubung keputusan beliau untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April tahun lepas, di sebalik mendapat bantahan banyak pihak.
Sekiranya perdana menteri mahu menjadikan faktor populis sebagai asas kepimpinan beliau, pastinya beliau membatalkan atau menangguhkan GST tetapi sebaliknya, menurut beliau ia membuktikan pihak yang mengkritik bukan sahaja silap malah silap besar.
Pada hari ini, sepertimana ditegaskan beliau semalam, GST menjadi penyelamat rakyat dan ini bukan sekadar retorik.
Bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara sekiranya beliau mengikut rentak gerakan anti GST yang popular itu?
Pasti berlakunya defisit serius dengan kekurangan besar sumbangan pendapatan daripada syarikat minyak negara Petronas terhadap simpanan negara yang akan membawa musibah kepada ekonomi.
Dalam tempoh hanya 10 bulan sejak GST dilaksanakan, Jabatan Kastam Berjaya mengutip hampir RM24 bilion daripada sumber pendapatan cukai baharu ini sahaja.
Antara langkah penting dalam pengubahsuaian bajet diumumkan semalam termasuk mengurangkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 3% dari Mac 2016 hingga Disember 2017 dengan kadar caruman majikan kekal sama.
Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan awam sehingga sebanyak RM8 bilion setahun.
Kreativiti turut menjadi ciri dalam pelaksanaan pengubahsuaian bajet dan ia sesuatu yang baharu.
Buat julung kalinya, program MyBeras diperkenalkan dengan golongan miskin tegar akan dibekalkan 20kg beras setiap bulan sehingga akhir tahun ini.
Ini pastinya lebih bermanfaat dan kreatif berbanding keputusan populis kerajaan Selangor yang memberikan rakyat negeri itu air percuma bagi 20 meter padu pertama sejak gabungan Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu pada 2018. – Bernama, 29 Januari, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments