bahasa

PAS mahu tipu siapa dengan ‘kuasa ke-3’, soal pemerhati

Para pemerhati politik tempatan berpendapat pakatan pembangkang ke-2 yang ingin ditubuhkan PAS tidak akan memperbaiki landskap politik negara malah ia hanya akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Para pemerhati politik tempatan berpendapat pakatan pembangkang ke-2 yang ingin ditubuhkan PAS tidak akan memperbaiki landskap politik negara malah ia hanya akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Cadangan parti Islam PAS untuk membentuk sebuah lagi pakatan baharu  "kuasa ke-3" menimbulkan keraguan, dengan penganalisis dan pemerhati berkata mengundi untuk parti ke-3 tidak memberikan kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Di bawah sistem pilihan raya “first-past-the-post “(FPTP) pengundi mungkin memilih hanya antara 2 calon teratas di sesuatu kawasan itu, kata penganalisis politik Dr Wong Chin Huat.

Ini kerana mengundi bagi calon lain tidak akan mempunyai sebarang kesan kepada keputusan pilihan raya.

"Ramai pengundi lebih mengambil berat mengenai parti mana yang boleh membentuk kerajaan berbanding calon yang mewakili kawasan mereka. Bagi pengundi ini, mengundi untuk parti ke-3 tidak memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya," kata Wong kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, jarang bagi sistem pilihan raya FPTP mempunyai lebih daripada 2 gabungan, tidak seperti negara menggunakan sistem pilihan raya perwakilan berkadar atau "proportional" seperti Jerman, New Zealand dan Ireland yang mempunyai lebih daripada 3 parti utama, dan di mana sistem pelbagai parti, berdaya saing dan stabil.

Wong, yang juga penganalisis di Institut Pulau Pinang, mempersoalkan sama ada PAS atau gabungan baharu dicadangkan boleh menjadi kuasa ke-3 pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ia bergantung kepada sama ada mereka boleh mencari cukup kawasan di mana PAS atau gabungan baharu merupakan salah satu daripada 2 peserta terbaik.

Pada pilihan raya lalu, PAS memenangi 21 kerusi Parlimen dan sekurang-kurangnya 40% undi dalam 31 kawasan lain, katanya.

"Prestasi memberangsangkan itu, bagaimanapun, dicapai sebagai komponen Pakatan Rakyat. Daripada jumlah 52 kawasan pilihan raya, sekurang-kurangnya 16 mempunyai 30% pengundi bukan Melayu pada ketika itu.

"Jelas sekali, cakap-cakap PAS membentuk satu lagi gabungan pelbagai etnik didorong antara lain, keinginan mengekalkan sekurang-kurangnya 16 kerusi ini dalam pertandingan 3 penjuru bersama Amanah (Parti Amanah Negara).

"Bagaimanapun, disebabkan kepimpinan Hadi terumbang-ambing,  kerjasama dengan Umno dan pandangan konservatif PAS mengenai isu-isu kepelbagaian budaya dan jantina, parti Islam itu ditolak kebanyakan bukan Melayu.

"Dan tidak ada sekutu bukan Melayu yang boleh dipercayai untuk bersekutu dengan PAS," katanya merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Wong berkata, dengan atau tanpa rakan bukan Islam, PAS akan terlibat dalam pertandingan 3 penjuru melawan Amanah dan DAP di kawasan-kawasan lain juga.

Beliau berkata, parti Islam itu mungkin mempunyai kelebihan di beberapa kawasan tradisi mereka tetapi di kerusi lain, terdapat satu soalan, walaupun di kalangan pengundi  Melayu muda, sama ada PAS perlu diberi perhatian serius untuk memimpin Malaysia atau tidak.

Beliau juga berkata, masalah paling besar bagi PAS ialah sikap tidak jelas terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dicemari dengan dakwaan pelbagai skandal.

"Hadi peluk dia, (Datuk) Tuan Ibrahim (Tuan Man) menentangnya, (Datuk) Mahfuz (Omar) mahu menjatuhkannya. Mengapa pengundi anti Najib perlu mengundi PAS?" soalnya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata baru-baru ini, parti Islam itu akan menubuhkan gabungan pembangkang ke-2, bekerja dengan sebuah parti berbilang kaum dan bukan dengan Umno.

Takiyuddin berkata, PAS akan menandatangani memorandum persefahaman dengan parti pelbagai kaum yang baharu itu pada 16 Mac.

Undi Melayu berpecah

Penganalisis Prof Madya Samsu Adabi Mamat berkata, langkah PAS akan mempelbagaikan parti-parti pembangkang dan memecahkan undi Melayu.

Beliau berkata, walaupun ia merupakan suatu eksperimen, menggunakan simpulan bahasa Melayu "untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

"Jika 'untung sabut', PAS dan pakatan baharu akan menjadi alternatif untuk menggantikan Umno sebagai parti Melayu utama. Jika 'untung batu', mereka hanya akan meningkatkan bilangan parti Melayu," katanya.

Samsu Adabi berkata kemunculan gabungan kedua dipimpin  PAS akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN), kerana ia akan memecahkan undi pembangkang.

"BN akan dilihat sebagai parti yang lebih stabil. Walaupun ia mempunyai masalah besar sekarang,  namun ada perpaduan dalam gabungan itu di kalangan ahli komponen.

"Jadi, keadaan ini akan membawa kepada pertandingan 3 penjuru dan perpecahan undi. Di kerusi di mana anda mempunyai 50% pengundi Melayu, ia akan menjadi lebih sukar untuk melihat parti mana yang akan menang," katanya.

Beliau berkata, PAS masih boleh menguasai banyak kerusi di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu dan Kedah; manakala banyak kerusi di negeri-negeri yang lebih maju akan dimenangi gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

"Pengundi-pengundi di sana, iaitu Cina akan memberikan undi mereka kepada DAP dan PKR," katanya.

Timbul syak wasangka

Bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut sangsi dengan gabungan "kuasa ke-3" ini dan tertanya-tanya parti pelbagai kaum mana akan bekerjasama dengan parti Islam itu.

"Kebanyakan parti berbilang kaum sudah bergabung dengan BN dan Pakatan Harapan. Ketiga-tiga parti dalam Pakatan merupakan parti berbilang kaum dengan kelebihan mereka sendiri.

Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kehadiran pakatan baharu ke-3 mencetuskan keraguan dan syak wasangka terhadap motif sebenar PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kehadiran pakatan baharu ke-3 mencetuskan keraguan dan syak wasangka terhadap motif sebenar PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016."Yang mana yang mereka maksudkan? Parti Cinta Malaysia? Parti Sosialis Malaysia?"

Naib presiden Amanah itu mempersoalkan jangka masa rancangan menubuhkan sebuah blok pembangkang ke-2, tidak berapa lama selepas Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak dilancarkan.

Deklarasi itu kini berkembang menjadi Gerakan Selamatkan Malaysia, menyaksikan pemimpin Umno, PKR, DAP, Amanah dan pemimpin kumpulan sivil bersatu untuk menjatuhkan Najib serta melaksanakan reformasi institusi.

"Mengapa sekarang? Gerakan Selamatkan Malaysia baharu saja bermula sebagai platform untuk mengubah sistem politik negara ini. Ia kelihatan seperti percubaan untuk mengelirukan dengan menubuhkan satu lagi gabungan baharu pembangkang.

"PAS dijemput PKR tahun lepas untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan yang mereka masih mesra tetapi ditolak," katanya.

Selepas masalah antara DAP dan PAS berhubung isu hudud tahun lepas, sekumpulan pemimpin progresif termasuk Mujahid, meninggalkan parti Islam itu dan membentuk Amanah.

Parti baharu itu kemudiannya menyertai DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

PAS memilih tidak menyertai Pakatan Harapan kerana permusuhan dengan DAP dan Amanah yang dituduh sebagai pengkhianat.

Mujahid berkata, masa pengumuman idea itu mencetuskan keraguan dan syak wasangka terhadap motif PAS.

"Adakah mereka hanya keluar untuk merosakkan undi? Untuk menghalang gerakan baharu memandangkan pemimpinnya mengumumkan bukan sebahagian daripadanya?

"Adakah mereka hanya keluar untuk mengganggu usaha menukar kerajaan? Itu hanya akan mengukuhkan BN," katanya.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia Pulau Pinang (PasMa) Zolkifly Md Lazim menyifatkan rancangan menubuhkan kuasa ke-3 sebagai "tidak logik".

"Saya tidak fikir pakatan pembangkang ke-2 ini akan memberi kesan memperbaiki landskap politik kita, ia kelihatan hanya akan memberi manfaat kepada BN.

"Terdapat juga laporan mengatakan PAS melakukan ini untuk mencabar Pakatan Harapan. Jadi mereka hanya akan membuat perkara yang memudahkan BN. Ia untuk menyelamatkan BN ... kuasa ke-3 ini tidak akan membawa negara kita ke arah lebih demokratik.

"Jika ada kuasa ke-3, ia perlu terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau masyarakat sivil," katanya. – 12 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments