bahasa
PAS gesa Bank Negara dedah nama calon pengganti Zeti
PAS menggesa Putrajaya dan Bank Negara Malaysia mendedahkan nama calon yang menggantikan Tan Seri Zeti Akhtar Aziz bagi memastikan tiadanya unsur politik dalam perkara itu.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana mereka tidak mahu insiden Bank Negara dicemari politik yang akan menjejaskan keyakinan bukan sahaja rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa.
Tuan Ibrahim merujuk kepada insiden Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang mengumumkan tiada pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan mereka mempunyai bukti jelas.
"Jika ini berlaku, ia bermaksud urusan Bank Negara sudah dicampuri politik dalam pelantikan gabenor baharu, dan ini bakal menjejaskan lagi keyakinan rakyat dan luar negara terhadap Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS juga menggesa Putrajaya melantik gabenor baharu seperti dicadangkan Bank Negara.
"Hanya Bank Negara dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tahu siapa lebih layak menggantikannya dari segi kelayakan, kepintaran, kebolehan dan terutamanya mereka yang bebas politik dan berani menentang gangguan politik ke atas Bank Negara
"Lebih-lebih lagi, kejayaan dicapai Bank Negara oleh Tan Sri Zeti dengan pengiktirafan pelbagai pihak sangat perlu dikekalkan, apa lagi dalam suasana negara berhadapan pelbagai kemelut ekonomi serantau," katanya.
Akhbar harian kewangan Amerika Syarikat (AS) yang memetik sumber berkata, Putrajaya akan menamakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah sebagai gabenor Bank Negara baharu minggu depan.
Penggal perkhidmatan Zeti berakhir pada April dan semalam beliau berkata, Bank Negara sudah mengemukakan nama penggantinya kepada Putrajaya.
Menurut Tuan Ibrahim, mereka yang terlibat dengan politik dan pernah berkhidmat dengan Kabinet di bawah pentadbiran Najib tidak boleh dilantik menjadi gabenor baharu kerana ia akan menjejaskan integriti dan nama baik Bank Negara.
"Jaminan PM yang Bank Negara akan bebas daripada campur tangan ahli politik masih dinanti-nantikan rakyat.
"Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti Bank Negara dapat dipertahankan," katanya. – 12 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments