bahasa
Pembaharuan Bank Negara kukuhkan kedudukan Malaysia, kata Zeti
Pembaharuan kewangan pelbagai yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengukuhkan institusi kewangan meletakkan Malaysia di platform yang kukuh sehingga membolehkan ekonominya kekal stabil meskipun berlaku ketidaktentuan luaran.
"Jika tidak, kita akan sangat mudah terjejas (dengan keadaan yang tidak menentu), seperti kejatuhan harga minyak mentah. Jika kita tidak mempunyai dasar untuk mengukuhkan institusi kewangan kita, maka, kita akan berada dalam keadaan yang amat sukar," kata Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 3.25% kekal menyokong ekonomi dan terasnya, kata beliau ketika ditanya mengenai keputusan bank pusat mengekalkan kadar itu yang berbeza dengan langkah bank serantau lain seperti Indonesia yang mengurangkan kadar faedah sebanyak 2 kali tahun ini.
Kenaikan OPR kali terakhir sebanyak 25 mata asas yang dilaksanakan BNM adalah pada 10 Julai, 2014.
Zeti berkata ekonomi Malaysia masih berkembang dan faktor yang mempengaruhi pertumbuhan semasa tidak kekal lama.
"Kita akan mengharungi tempoh pelarasan bagi satu atau 2 tahun atau lebih dan sewajarnya kita mampu untuk meneruskan pertumbuhan kita. Kita mempunyai asas-asas yang penting," katanya kepada pemberita di luar Forum Global Wharton 2016 hari ini.
Semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari kedua pada Rabu, BNM mengumumkan keadaan kewangan domestik keseluruhannya kekal stabil secara relatifnya sejak mesyuarat sebelum itu yang berlangsung pada Januari.
Sistem kewangan terus kukuh di samping institusi kewangan beroperasi dengan penampan mudah tunai yang mencukupi dan pada masa yang sama pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta turut kekal baik, menurut BNM. – Bernama, 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments