bahasa
Pengusaha bauksit akur arahan moratorium
Tidak ada sebarang pelanggaran arahan moratorium perlombongan bauksit yang dikesan berlaku di Kuantan sejak ia dikuatkuasakan 15 Januari lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata hasil pemantauan yang dilakukan secara bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa lain mendapati semua pihak termasuk pemandu lori akur dengan arahan penggantungan sementara aktiviti itu.
"Kami masih meneruskan pemantauan 24 jam di 9 pusat pemeriksaan di daerah ini dan esok (12 Mac) kami akan membuat pertukaran 90 anggota dan pegawai PGA Hulu Kinta yang bertugas di situ sebelum ini dengan anggota Batalion 4 PGA, Semenyih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Cawangan Khas Pahang antara DCP Datuk Riduan Hashim kepada SAC Mohd Shuhaily Mohd Zain di Kuantan hari ini.
Sembilan lokasi terlibat ialah Bukit Kuantan, Tanjung Pasir, Kampung Padang, Taman Dato' Rashid, Shahpadu, berhadapan Pejabat Sirim di Jalan Pintasan Kuantan, Bukit Penggorak, Sungai Ular dan Jabor.
Pusat pemeriksaan itu diwujudkan sejak 9 Januari lepas bagi memantau sebarang pergerakan lori bauksit sepanjang tempoh moratorium itu dilaksanakan selama 3 bulan sehingga 15 April. – Bernama, 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments