bahasa

Pesakit buah pinggang individu ke-10 ditangkap sertai #KitaLawan

Perhimpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu melihatkan ramai pesertanya ditangkap polis, dan Ahli PKR Cabang Subang, S Jayathas merupakan individu yang ke-10 ditahan setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mac, 2015.Perhimpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu melihatkan ramai pesertanya ditangkap polis, dan Ahli PKR Cabang Subang, S Jayathas merupakan individu yang ke-10 ditahan setakat ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mac, 2015.Ahli PKR Cabang Subang, S Jayathas menjadi individu ke-10 ditangkap polis kerana menyertai perhimpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu.

Menurut peguam G Sivamalar, memandangkan Jayathas menghidap sakit buah pinggang, beliau akan dibebaskan pukul 10 malam ini.

"Pihak peguam mengesahkan S Jayathas, anggota PKR cabang Subang  ditangkap polis.

"Namun, memandangkan S Jayathas seorang pesakit buah pinggang, pihak polis berjanji untuk membebaskan beliau sekitar jam 10 malam ini," kata Komunikasi PKR dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, antara individu yang ditahan polis kerana menyertai himpunan sama ialah Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Sing dan Bendahari Pemuda PAS Fakhrurazi Mokhtar.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ditahan di Pusat Tahanan Reman Jinjang, Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana ucapannya yang didakwa berunsur hasutan di Dewan Rakyat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, anak sulung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut ditahan kerana terlibat dengan perhimpunan pada 7 Mac.

Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh pula dibebaskan dengan jaminan petang tadi selepas ditahan 4 hari kerana menyertai himpunan sama pada Sabtu minggu lalu.

Anak kedua Anwar, Nurul Nuha juga dilaporkan akan dipanggil polis untuk diambil keterangan kerana mengetuai gerakan itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan usul tergempar bagi mengutuk tindakan Khalid susulan penahanan Nurul Izzah.

Nurul Izzah dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, penahanan beliau itu akan memberikan kesan besar kepada semua ahli Parlimen.

"Penahanan saya semalam akan memberi kesan yang amat besar kepada semua ahli Parlimen.

"Kita melihat ketua polis negara tidak mengambil kira impak dan kesan serta kuasa termasuk imuniti ahli Parlimen dalam membawa suara rakyat," katanya.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga sedang menghina mahkamah dengan menggunakan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

Susulan perkara itu, Nurul Izzah berkata, pemimpin PR akan mengemukakan usul di Dewan Rakyat atas prinsip pemisahan kuasa.

"Kami akan mengusulkan sebuah usul tergempar di Dewan Rakyat menerusi prinsip Perlembagaan Persekutuan dan prinsip pemisahan kuasa dengan mengutuk tindakan polis yang menghina mahkamah, bukan sahaja dalam hal akta perhimpunan awam serta penggunaan Akta Hasutan," katanya.

Usul itu katanya akan dibawa melalui Seksyen 7 Akta Majlis Parlimen/Akta 347 (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Seksyen 7 akta itu menyatakan tidak ada ahli Parlimen perlu bertanggungjawab terhadap sebarang prosiding sivil atau jenayah berhubung ucapan di Dewan Rakyat," katanya. – 17 Mac, 2015.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments