bahasa
Rafizi dedahkan pembelian jet baharu bernilai hampir setengah bilion
PKR hari ini mendedahkan harga pembelian jet peribadi baharu oleh Putrajaya bernilai hampir separuh bilion ringgit sekali gus menolak jawapan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan tindakan pembelian bertujuan menjimatkan kos.
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, berdasarkan perjanjian pembelian antara kerajaan Malaysia dan Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd, kos yang dinyatakan bagi pesawat jenis ACJ320 itu bernilai RM465.4 juta.
Rafizi yang juga setiausaha agung PKR berkata, melalui terma perjanjian tersebut, kerajaan Malaysia akan membayar pendahuluan sebanyak AS$20 juta dan bakinya akan dibayar secara ansuran selama 15 tahun.
"Bayaran deposit AS$20 juta yang dibayar adalah bersamaan RM65.22 juta mengikut kadar tukaran mata wang ditetapkan semasa perjanjian iaitu AS$1 bersamaan RM3.261, dan bayaran pendahuluan ini sudah dilakukan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Katanya melalui perjanjian tersebut, kos yang diperincikan hanyalah nilai pembelian dan ini tidak termasuk kos operasi, kos penyenggaraan dan pelbagai lagi dalam perjanjian berasingan.
Katanya, kerajaan Malaysia perlu membayar ansuran sebanyak USD679,984 sebulan, bersamaan RM2.217 juta sebulan selama 15 tahun untuk melangsaikan baki hutang.
"Sebarang risiko kadar mata wang yang menyusut ditanggung oleh kerajaan Malaysia sepanjang tempoh 15 tahun itu.
"Dalam keadaan nilai mata wang ringgit Malaysia turun seperti sekarang, kerajaan Malaysia akan membayar lebih dan menanggung kerugian akibat nilai mata wang ringgit Malaysia yang jatuh," katanya.
Semalam, Rafizi mendedahkan pentadbiran Najib membeli sebuah jet peribadi baharu dengan sewenang-wenangnya.
Rafizi mendakwa, jet berkenaan ialah tambahan kepada 5 jet sedia ada yang dimiliki Putrajaya setakat ini, termasuk Boeing Business Jet.
Manakala blog Umno Mykmu.net, memetik sumber rasmi kerajaan mempertahankan keputusan pembelian dengan menyatakan ia bagi menggantikan pesawat sedia ada berusia 20 tahun kerana memakan kos penyelenggaraan tinggi.
Mykmu.net juga berkata, jet peribadi bukan hanya untuk kegunaan perdana menteri malah ia turut digunakan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan. – 17 Mac, 2015.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments