bahasa

Ringgit diramal terus meningkat minggu depan

Berikutan sentimen positif mengenai kenaikan harga minyak global, ringgit dijangka terus meningkat minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac 2016.	Berikutan sentimen positif mengenai kenaikan harga minyak global, ringgit dijangka terus meningkat minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac 2016. Ringgit dijangka meneruskan momentum meningkat minggu depan berikutan sentimen positif mengenai kenaikan harga minyak global, kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

"Sentimen semasa untuk ringgit adalah positif. Dengan penyusutan dolar AS dan harga minyak mentah terus naik, ringgit boleh meningkat lagi.

"Ringgit dijangka diniaga pada 3.95 dalam jangka pendek," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peniaga juga berhati-hati menjelang mesyuarat jawatankuasa pasaran terbuka Rizab Persekutuan AS minggu depan untuk mencari petunjuk mengenai kenaikan kadar faedah.

 Sementara itu, peniaga lain berkata, tindakan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25% dijangka merangsangkan lagi selera pelabur untuk unit tempatan itu.

"Dengan OPR yang tidak berubah, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh pada paras lebih sederhana sepanjang 2016," kata peniaga.

Beliau berkata, keputusan Bank Pusat Eropah untuk mengurangkan kadar faedah juga akan membantu prestasi ringgit minggu depan kerana ia mengembalikan keyakinan peniaga yang keputusan itu akan menangani inflasi di samping merangsang pertumbuhan ekonomi 19 negara yang menggunakan euro.

Ringgit diniagakan keseluruhannya lebih tinggi sepanjang minggu yang baru berakhir.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit mengukuh kepada 4.0860/0910 daripada 4.1175/1225 berbanding dolar AS Jumaat lepas, terutama disebabkan pergerakan harga minyak mentah.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9656/9707 daripada 2.9789/9828 Jumaat lalu dan mengukuh berbanding yen kepada 3.5927/5981 daripada 3.6191/6251 sebelum ini.

Ia juga menyusut berbanding euro kepada 4.5400/5471 daripada 4.5033/5104 minggu lepas dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.8275/8366 daripada 5.8209/8305 Jumaat lalu. – Bernama, 12 Mac, 2016. 

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments