bahasa
Santhiran, bukan sekadar wartawan tetapi sahabat, kata rakan sekerja
Awal pagi ini, warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dikejutkan dengan berita pemergian seorang wartawan kanan, M Santhiran yang meninggal dunia selepas mengalami beberapa komplikasi ketika dirawat di Hospital Primus Chanakyapuri, New Delhi, India.
Santhiran, 48, yang sedang bertugas sebagai Pewarta Bernama di India meninggal dunia pada 11.40 malam waktu tempatan (waktu Malaysia 2.10 pagi) selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Jumaat, selepas mengalami cirit-birit.
Pemergian Santhiran yang mesra disapa "Abang San" dalam kalangan wartawan Bernama, merupakan satu kehilangan kepada warga agensi berita ini, sahabat handai dan rakan media, termasuk Ketua Meja Mahkamah Bernama, Suriati Sidek Ahmad yang mengenali mendiang sejak 10 tahun lepas.
"Mendiang bukan setakat rakan sekerja tetapi juga sahabat. Mendiang mudah didekati, suka memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam penulisan berita mahkamah, jenayah atau politik.
"Mendiang juga 'rakan sekepala' sebab itu saya dan beliau serasi bersama ketika membuat liputan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
"Ketika keputusan Anwar di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, beliau sudah pun ditukarkan ke New Delhi. Masa itu saya 'Whatsapp' pada mendiang mengatakan saya merindui teman kes Anwar, 'please come and help me' (tolong datang dan bantu saya) dan dia balas: 'you can do it Su' (anda boleh lakukannya Su)," kata Suriati.
Bagi bekas rakan sekuliah Santhiran semasa zaman universiti dahulu, yang juga kini merupakan Ketua Biro Bernama Kota Kinabalu, Nashir Mansor, mendiang disifatkan sebagai seorang yang suka membantu, sering tersenyum dan mudah didekati walaupun berlainan kaum.
"Kami satu 'batch' semasa belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang tahun 1989. Kami mengambil jurusan yang sama iaitu Komunikasi Massa dan sama-sama mengambil 'majoring' dalam bidang kewartawanan.
"Jika kami satu kumpulan untuk melakukan sesuatu tugasan, Santhiran sering ke bilik saya untuk bincang pasal tugasan itu, dia tak kedekut bagi pendapat," katanya yang terkejut dengan berita itu.
Sementara itu, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang mengucapkan takziah bagi pihak Bernama kepada keluarga mendiang.
Azman berkata mendiang merupakan antara wartawan kanan Bernama yang sangat berdedikasi dalam kerjayanya.
"Bagi pihak Bernama saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang M Santhiran dan Bernama akan berhubung dengan pihak pengurusan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi untuk urusan membawa balik mayat mendiang ke Malaysia," katanya.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab pula berkata mendiang sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wartawan dan pemergiannya itu satu kehilangan besar kepada Bernama.
"Takziah kepada keluarga mendiang, seorang lagi wira kita pergi tanpa diduga," katanya.
"Sempat jumpa beliau sebelum pulang Delhi baru-baru ini dengan semangat untuk meningkatkan prestasi liputan Bernama, tapi cepat dipanggil Tuhan dan kita doakan agar rohnya tenang di alam barunya," kata Zakaria.
Bagi Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain, Santhiran disifatkan sebagai seorang wartawan yang berdedikasi dan mempunyai sumber atau "contact" yang banyak dalam bidang kewartawanan.
Santhiran menyertai Bernama pada Oktober 2002 dan bertugas sebagai pewarta di India bermula 1 Februari 2015.
Santhiran bertugas di Meja Mahkamah Bernama selama 10 tahun, iaitu meja paling lama mendiang bertugas selepas menjadi wartawan meja jenayah di agensi berita sama.
Mayat mendiang akan dibawa pulang ke tanah air sebaik proses pengurusan jenazah selesai dan dijangka disemadikan di Puchong, Selangor.
Mendiang meninggalkan isteri, Malarvili Dorasamy, 47, dan 2 anak lelaki iaitu S Rutran, 18 dan S Nahvin, 16. – Bernama, 13 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments