bahasa

Saya akan terus desak Najib undur, itu hak saya, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan terus mendesak peletakan jawatan perdana menteri kerana itu haknya sebagai warganegara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 November, 2015.Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan terus mendesak peletakan jawatan perdana menteri kerana itu haknya sebagai warganegara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 November, 2015.Walaupun dipanggil polis dan disiasat atas dakwaan meminta Datuk Seri Najib Razak berundur, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa serik hari ini berkata, beliau akan terus mendesak peletakan jawatan perdana menteri.

Dalam posting terbaru di blognya, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan dinafikan haknya untuk meneruskan kritikan terhadap Najib, yang ketika ini diselubungi pelbagai dakwaan rasuah dan penyelewengan wang rakyat.

"Oleh itu, saya akan terus meminta Najib meletak jawatan, tidak mempercayai penjelasan beliau tentang bagaimana beliau mendapat RM2.6 bilion itu, mengkritik pinjaman yang diambil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerugian yang ditanggungnya.

"Ini hak saya sebagai seorang warganegara. Sesuatu yang sangat tidak demokratik untuk menyangkal saya hak ini,” katanya.

Dr Mahathir, 90, merupakan pengkritik tegar Najib untuk tempoh masa yang paling lama setakat ini, dan secara terbuka meminta perdana menteri meletak jawatan kerana didakwa "gagal" mentadbir negara.

Juga menjadi bahan kritikan Dr Mahathir ialah wang "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun bank peribadi Najib serta skandal milik negara yang sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, semasa menjadi perdana menteri, beliau juga menerima tuduhan terlibat dalam kronisme dan rasuah tetapi tidak mengambil tindakan terhadap pengkritiknya kerana menganggap kritikan sebegitu perkara biasa.

"Saya tidak mengambil tindakan untuk membuatkan sebarang tuduhan terhadap saya satu jenayah. Saya percaya tuduhan begitu satu perkara biasa.

"Jika rakyat benar-benar percaya perkara yang dikatakan tentang saya, mereka boleh singkirkan saya. Jika saya kalah, saya terima. Itulah cara yang demokratik,” katanya.

Pihak berkuasa membuka beberapa kertas siasatan selepas laporan polis dibuat terhadap bekas perdana menteri itu, manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan sebagai berkata polis akan menyoal beliau berhubung komen yang dibuatnya semasa menghadiri perhimpunan Bersih 4.

Siasatan yang dijalankan adalah berkaitan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun itu berkata, sehingga beliau didapati bersalah oleh mahkamah, beliau akan terus mengkritik Najib kerana percaya beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Pada pandangan saya, dan sudah tentu saya mungkin salah, bentuk soalan yang dikemukakan (oleh polis) adalah bertujuan menghalang saya daripada terus berbuat atau bercakap semua yang saya lakukan dan katakan sebelum ini.

"Jika saya berhenti, maka Najib akan bebas daripada pendedahan mengenai salah lakukan yang dilakukan sebelum ini atau akan lakukan. Orang mungkin akan lupa.

"Mahkamah mungkin memutuskan saya melakukan jenayah atas apa yang saya lakukan atau katakan. Tetapi sehingga saya disabitkan bersalah oleh mahkamah, saya akan terus percaya dan katakan, saya tidak berbuat apa-apa salah, apa-apa yang tidak demokratik,” katanya.

Beliau mengulangi yang beliau tidak percaya dengan penjelasan Najib mengatakan RM2.6 bilion itu sumbangan seorang penderma Timur Tengah kerana perdana menteri masih belum membuktikan wang itu bukan dari 1MDB.

"Saya secara terbuka mengisytiharkan saya tidak percaya RM2.6 bilion Najib itu sumbangan dari seorang Arab. Saya percaya ia dari 1MDB.

"Najib tidak membuktikan ia bukan wang 1MDB. Apabila anda mengambil sesuatu yang bukan milik anda, ia mencuri.

"Dengan mengatakan Najib mencuri wang kerajaan, ia hanya boleh menjadi fitnah jika beliau boleh buktikan beliau tidak mencuri.

"Setakat ini, beliau tidak mampu memberikan bukti meyakinkan yang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya itu bukan datang dari 1MDB dan oleh itu, bukan dari kerajaan.

"Fitnah hanya menjadi fitnah jika anda mengatakan sesuatu yang palsu mengenai seseorang. Buktikan apa yang saya katakan adalah palsu, kemudian barulah dakwa saya kerana memfitnah. Itu caranya," katanya.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, Najib campur tangan dalam siasatan terhadap skandal kewangan itu dan menggantikan pegawai yang sebelum ini terlibat dalam siasatan.

Langkah itu, katanya, tidak membantu membina kredibiliti Najib.

"Beliau menghentikan siasatan ke atas RM2.6 bilion dalam akaunnya. Itu menunjukkan beliau takut siasatan itu mungkin membuktikan dakwaan terhadapnya berasas," katanya.

"Melantik orang lain menggantikan pegawai yang asal ialah satu campur tangan dalam kerja-kerja penyiasat. Penggantian itu tidak mewujudkan kredibiliti." – 14 November, 2015.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments