bahasa
Saya pro BN tetapi tidak dibayar Najib, kata Ramesh Rao
Sejak sidang media "huru-hara" bersama balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam Sabtu lepas, aktivis Persatuan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao Naidu menjadi buah mulut di media sosial.
Ia merupakan penampilan kontroversi media keduanya – yang pertama ialah penglibatan dengan bekas wartawan Sarawak Tribune, Lester Melanyi tahun lepas – dan pengkritik menuduh beliau dibayar Barisan Nasional (BN) untuk melindungi imej mereka.
Tetapi aktivis "pro BN" itu tidak gusar dengan cemuhan diterimanya, hanya kerana merasakan niatnya terhadap kedua-dua kes itu adalah jujur – untuk mendedahkan kebenaran dan menyokong parti politik dipercayainya.
Beliau berkata apa dilakukannya tidak jauh beza dengan "NGO pro Pakatan seperti Suaram" lakukan apabila membongkar kontroversi – kecuali, beliau berpihak kepada pasukan lain.
"Orang boleh kata apa sahaja mengenai saya. Saya seorang penyokong BN, jadi apa yang anda harapkan daripada saya lah? Menyokong PKR? Saya menyokong BN dan mempertahankan BN.
"Tetapi bukan sepanjang masa saya menyokong BN. Jika mereka salah, mereka tetap salah," kata Ramesh dalam wawancara telefon bersama The Malaysian Insider.
Ramesh menafikan bekerja dengan BN dengan mengatakan akan menjalani kehidupan dan jauh lebih senang jika perkara itu benar.
"Jika benar Datuk Seri Najib Razak mengupah saya, saya akan mempunyai kehidupan yang sangat selesa. Tetapi saya belum pun pernah bertemu PM.
"Saya tidak tahu jika PM mengenali saya. Walaupun saya ingin menikmati secawan kopi bersama beliau," katanya.
Ramesh berkata beliau bukan sentiasa menjadi penyokong parti pemerintah – mendakwa beliau sebahagian daripada gerakan reformasi 1998 dan berakar umbi untuk parti pembangkang sehingga mereka akhirnya mengambil alih kuasa di Selangor dan Pulau Pinang pada 2008.
Kecewa dengan "janji-janji" mereka terhadap rumah mampu milik dan menaikkan taraf hidup kaum India, beliau beralih kesetiaannya selepas melihat BN melakukan lebih baik "di depan matanya sendiri".
Beliau juga mendapati kerajaan sangat membantu ketika bertemu dengan mereka bagi pihak PMSP – ditubuhkan pada 2012 dengan rakan-rakannya untuk membantu mereka yang memerlukan.
Ramesh berkata, beliau banyak menggerakkan aktiviti kesukarelawanan kerana mempunyai latar belakang susah – datang daripada keluarga miskin dan kehilangan ibu bapanya ketika masih kecil.
"PMSP membantu sesiapa sahaja yang datang meminta bantuan. Kami membantu Cina, India, Melayu, kita juga membantu orang PKR dan DAP.
"Kami tidak membezakan. Malah, 85% daripada kaum India yang saya bantu ialah daripada PKR. Kami mempunyai semua rekod di pejabat kami," kata Ramesh yang menyara hidup melalui syarikat penerbitan miliknya.
Katanya, PMSP terdiri daripada 15 ahli yang serius dan komited membantu golongan memerlukan dengan membawa masalah mereka kepada pihak berkuasa atau menganjurkan kutipan dana.
Dan ini adalah bagaimana isteri PI Bala, A Santamil Selvi, terlibat dalam perkara ini, katanya. Beliau merupakan di antara individu yang banyak kali datang ke pejabatnya untuk meminta bantuan.
"Beliau datang kepada saya untuk mendapatkan bantuan pendidikan anak-anaknya. Beliau memerlukan RM20,000 untuk membayar yuran kolej mereka. Saya memberitahunya saya mengenali beberapa NGO dan boleh melakukan kutipan derma untuknya."
Tetapi menjadi individu "pro BN", dan mengenali Selvi dan suaminya selama bertahun-tahun, Ramesh berkata memutuskan untuk mengorek cerita mengenai pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.
"Saya bertanya kepadanya (Selvi), adakah awak melihat Altantuya dibunuh? Beliau berkata 'tidak'. Saya bertanya kepadanya, 'adakah awak tahu dengan pasti Najib membunuh Altantuya? Beliau berkata 'tidak '.
"Jadi saya memberitahunya, bagaimana awak boleh membuat tuduhan seperti itu? Ia tidak betul. Awak sebaiknya menjelaskan semua ini kepada media," kata Ramesh.
Tetapi sidang media pada Sabtu lepas bertukar sebaliknya apabila "orang putih menyoal siasat Santamil dan membuatkannya marah", kata Ramesh, merujuk kepada wartawan ABC Four Courners, Linton Besser.
"Beliau bermula dengan baik, katanya: 'Saya mahu memohon maaf kepada Najib dan keluarganya', kemudian apabila orang putih itu mula memprovokasinya, segala-galanya menjadi tidak terkawal.
"Saya tidak tahu mengapa orang putih itu begitu berminat dalam politik Malaysia. Untuk makluman, saya tidak menjemput mereka ke sidang media itu, hanya media tempatan," kata Ramesh.
Beliau berkata mereka yang menuduhnya merasuah Selvi untuk hadir pada sidang media itu perlu menyediakan bukti.
Pengkritik turut mempersoalkan bagaimana seorang muflis seperti dirinya boleh memberikan RM20,000, tetapi Ramesh berkata, wang itu bukan daripadanya.
Beliau melancarkan kutipan derma untuk Selvi pada Sabtu, dan setakat ini menerima RM1,800 menerusi sumbangan daripada orang ramai.
Ramesh berkata, beliau menjangkakan untuk mencapai sasaran RM20,000 dalam masa 10 hari, dan akan mengadakan satu lagi sidang media untuk mengumumkan kejayaan mereka dan nama-nama penderma.
Beliau menambah ramai tersilap dengan menggelarkannya sebagai seorang yang bankrap – katanya, mahkamah membebaskannya tahun lepas, kerana sudah membayar kira-kira RM300 hingga RM350 sebulan untuk menyelesaikan hutangnya.
"Saya menjadi bankrap kerana rakan menggunakan nama saya untuk membeli kereta dan gagal membayar pinjaman. Jadi kereta ditarik.
"Beliau meninggal dunia, jadi saya terpaksa mengambil tanggungjawab penuh untuk membayar ansuran bulanan," kata Ramesh. – 14 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments