bahasa

Semua bahagian pesawat CN235 dikeluarkan hari ini

Pesawat CN235 yang membawa 8 anak kapal membuat pendaratan cemas setelah dikatakan mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor pada 26 Februari lepas. Gambar ihsan pembaca The Malaysian Insider, 11 Mac,  2016.Pesawat CN235 yang membawa 8 anak kapal membuat pendaratan cemas setelah dikatakan mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor pada 26 Februari lepas. Gambar ihsan pembaca The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Semua bahagian milik pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Kuala Selangor pada 26 Februari lepas, berjaya dibawa keluar sepenuhnya hari ini.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata semua bahagian pesawat itu akan dibawa ke Pangkalan Udara Subang bagi tujuan pemeriksaan.

Katanya, kedua-dua bahagian enjin pesawat pula akan dihantar ke Nusantara Turbin dan Propulsi (NTP) di Bandung, Indonesia, esok untuk dianalisis pihak Pengeluar Peralatan Tulen (OEM) pesawat di negara itu.

"TUDM kini memberikan fokus utama kepada (usaha) mencari punca insiden ini berlaku manakala pasukan Lembaga Penyiasatan TUDM kini memberi tumpuan penyiasatan kepada sistem janakuasa pesawat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Unit Kawalan Enjin Digital (DECU) pesawat pula dihantar ke NTP semalam untuk pemeriksaan.

"Perakam Data Penerbangan dan Perakam Data Suara pula masih lagi dianalisis pihak OEM," katanya.

Roslan berkata Lembaga Penyiasatan TUDM mendapat kerjasama daripada Bahagian Kejuruteraan dan Teknikal PT Dirgantara Indonesia serta NTP.

"TUDM mendapat bantuan daripada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan serta nelayan dan masyarakat tempatan untuk membawa keluar pesawat ini.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menghulurkan bantuan kepada TUDM," katanya.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, pesawat berkenaan yang membawa 8 anak kapal membuat pendaratan cemas setelah dikatakan mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.

Semua anak kapal dapat diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan di kawasan itu.

Pada 2 Mac, kotak hitam pesawat CN235 ditemui. – Bernama, 11 Mac,  2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments