bahasa
Setahun berlalu, GST berjaya tetapi masih tidak popular
Cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjaya tetapi tidak begitu popular, kata penganalisis selepas hampir setahun cukai kepenggunaan itu diperkenalkan.
Namun, pada asasnya cukai merupakan suatu perkara utama negara – sama ada ia mengambil berat tentang pelabur asing atau rakyat jelata.
Ia berjaya, kata penganalisis kerana menjadi sumber hasil kerajaan paling stabil berikutan kejatuhan harga minyak.
Sembilan bulan pertama perlaksanaannya, GST berjaya mengumpulkan RM27 bilion hasil bagi Putrajaya, kata Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Datuk Subromaniam Tholasy. Bagi tempoh genap 12 bulan, ia dijangka memungut hasil tahunan sebanyak RM36 bilion.
Tahun depan, GST dijangka menyumbang RM39 bilion kepada kerajaan, kata Subromaniam.
Menerusi GST juga, perniagaan yang selama ini mengelak daripada membayar cukai pendapatan mereka, perlu mendaftar.
Cukai ini masih dianggap tidak popular kerana kecaman berterusan terhadap menteri yang mempertahankannya dan bagaimana rakyat miskin dan mudah terjejas terpaksa membayar cukai.
Ini adalah mengapa cukai itu bukan sahaja tentang pendapatan kerajaan, kata Ginie Lim daripada Institut Rakyat.
Sistem ini disokong Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan mengguna pakainya meningkatkan penarafan rating kredit.
Rating kredit antarabangsa negara ditentukan sejauh mana sesebuah negara disukai pemberi pinjaman global seperti bank memberi pinjaman kepada kerajaan, kata Lim yang juga penolong pengarah penyelidikan kumpulan pemikir itu.
"Jadi dengan GST kerajaan seolah-olah lebih berminat untuk menyenangkan hati pemberi pinjaman dan bukannya memberi tumpuan kepada keadilan sosio ekonomi seperti membantu golongan miskin dan mudah terjejas, yang mempunyai masalah berdepan beban dengan cukai tambahan," katanya.
Faedah
Salah satu sebab mengapa cukai adalah popular di kalangan pelabur antarabangsa kerana ia merupakan satu sistem yang telus berbanding pendapatan dan rejim cukai korporat, kata perunding firma percukaian Grant Thorton, Alan Chung.
Syarikat multinasional kini melihat cukai korporat sesebuah negara sebagai kos tambahan kepada operasi mereka apabila membuat keputusan di mana untuk melabur dan membuka cawangan, kata Chung, yang juga pengarah eksekutif Grant Thorton.
"Melangkah daripada memberi tumpuan kepada cukai korporat kepada cukai penggunaan yang meluas menjadikan negara ini lebih menarik," kata Chung kepada The Malaysian Insider.
“Para pelabur juga menyukai negara yang melaksanakan sistem cukai lebih bersih dan telus, mereka mahukan kepastian dan tiada cukai tersembunyi.”
Data kerajaan terkini, kata seorang lagi pegawai kanan Grant Thorton, Lorraine Parkin menunjukkan pelaburan langsung asing pada 2015 masih teguh.
"Penyelidikan oleh IMF menunjukkan sesebuah negara yang bergerak ke arah rejim cukai GST atau kepenggunaan, akan mendorong kepada pertumbuhan bagi negara itu," kata Parkin, ketua bahagian cukai tidak langsung Grant Thorton Asia Pacifik.
GST juga memaksa syarikat yang tidak pernah membayar cukai pendapatan, atau dikenali sebagai "pasaran tersembunyi", untuk mendaftar dengan Putrajaya dan ini menambah satu lagi sumber pendapatan, kata Chung.
Subromaniam berkata pada tahun lepas kira-kira 300,000 syarikat yang tidak pernah mempunyai fail cukai mendaftar dengan Putrajaya.
Kecekapan GST adalah satu lagi sebab mengapa ia popular dengan birokrasi. Daripada membelanjakan daripada sumber besar kerajaan untuk memungut cukai daripada orang ramai, kini menggunakan perniagaan untuk melakukannya, kata Chung.
"Sebab itu mengapa kerajaan kurang berbelanja untuk mengumpulkan RM1 GST berbanding dengan mengumpul RM1 cukai pendapatan," kata Chung.
Kos
Dari sudut berlainan pula GST menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran kerajaan dalam membuat kutipan cukai pendapatan yang lebih cekap, kata Lim.
"Ia juga mencerminkan kegagalan untuk menguruskan kewangan negara semasa yang baik seperti yang dilihat dalam pembaziran dalam Laporan Ketua Audit Negara."
Penyelidikan Institut Rakyat ke atas kesan GST sepanjang tahun lalu mencabar hujah yang berulang kali dilontar Putrajaya di mana cukai ini tidak membebankan golongan miskin kerana barangan seperti makanan adalah berkadar sifar.
Data Jabatan Statistik menunjukkan kadar inflasi bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan adalah lebih tinggi daripada purata negara, kata Lim.
Pada Ogos tahun lepas, kadar inflasi bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan adalah 3.2% berbanding dengan kadar kebangsaan sebanyak 3.1%.
Pada Januari ia mencatatkan 3.6% bagi pendapatan 3,000 ke bawah dan 3.5% kadar kebangsaan.
"GST dengan penurunan nilai dan pencatutan ringgit, menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup," kata Lim.
Kesan terhadap kelas pekerja mungkin disebabkan hakikat perniagaan kecil yang mereka membeli terpaksa meningkatkan harga kerana turut dikenakan GST.
"Tapi perniagaan kecil ini tidak menghasilkan perolehan tahunan mencukupi untuk menuntut balik cukai daripada kerajaan. Jadi mereka dikenakan cukai daripada pembekal, yang boleh membuat tuntutan bayaran balik GST daripada kerajaan tetapi mereka tidak boleh memindahkan cukai kepada pengguna."
Ketika pengguna berjuang dengan cukai baharu ini, keyakinan mereka untuk berbelanja merosot dan ini menyebabkan kitaran teruk.
"Pengguna kurang berbelanja jadi perniagaan mendapat pendapatan yang kurang. Perniagaan terpaksa mengurangkan pengembangan dan ini membawa kepada penafian kenaikan gaji pekerja, yang juga menjadikan mereka kurang berbelanja," kata Lim.
Justeru, ketika Putrajaya mungkin mencapai matlamatnya untuk menjadikan satu lagi sumber pendapatan melalui GST, cukai itu menjejaskan matlamat lain – untuk kepenggunaan, suatu pemacu besar kepada ekonomi.
Semua ini boleh dielakkan jika kerajaan berhati-hati dengan wang yang dibelanjakan, kata Lim.
"Persoalannya jika kerajaan mampu menambah baik kutipan cukai pendapatan dan mengamalkan tadbir urus yang baik pada masa lalu, adakah kita memerlukan GST? " – 14 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments