bahasa
Tiada arahan ahli Parlimen BN sokong hudud Kelantan, kata Shahrir Samad
Tiada arahan khusus diterima ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sama ada untuk menyokong atau menolak rang undang-undang persendirian hudud yang akan dibawa PAS Kelantan di Dewan Rakyat, kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Ahli Parlimen Johor Baru itu bagaimanapun berkata, pemimpin BN akan mengundi di Dewan Rakyat berteraskan suara hati mereka kerana isu berkenaan melibatkan soal akidah.
"Tiada arahan daripada Umno sama ada untuk mengundi atau tidak, jadi saya percaya ia undi daripada suara hati.
"Jadi terpulang kepada suara hati ahli Parlimen beragama Islam sama ada mahu menyokong atau tidak," katanya, ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
PAS Kelantan hari ini membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri berkenaan.
Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad dalam kenyataannya berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di negeri itu menyokong hudud kerana Allah dan tidak berlandaskan sentimen politik.
"Saya sokong hudud ini kerana Allah. Umno sokong juga kerana Allah. Bukan kerana politik. Kita akan hadapi masalah yang sama. Mereka datang daripada pelbagai kumpulan untuk halang apa yang kita buat.
"Saya bimbang kerajaan negeri terpaksa menghadapi banyak perkara. Maka, marilah kita bersama-sama bersahabat menghadapi rintangan ini," katanya.
Shahrir berkata, berbalik kepada soal akidah, ahli Parlimen seharusnya dibenarkan untuk bertindak berlandaskan suara hati mereka.
"Saya selaku (ahli Parlimen) Umno, kami bukan robot, kami tidak mengatakan ini kehendak parti, kita perlu ambil kira kepentingan rakyat," kata Shahrir. – 18 Mac, 2015.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments