bahasa

Tindakan menahan 2 wartawan Australia wajar, kata polis

Penahanan 2 wartawan warga Australia perlu bagi menjaga dan memastikan keselamatan pemimpin selain ketenteraman awam tidak terganggu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.Penahanan 2 wartawan warga Australia perlu bagi menjaga dan memastikan keselamatan pemimpin selain ketenteraman awam tidak terganggu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan tindakan menahan 2 warga Australia yang merempuh kawalan keselamatan dan bertindak agresif untuk mendekati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuching pada Sabtu lepas sebagai tindakan yang wajar.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata penahanan kedua-dua wartawan itu perlu bagi menjaga dan memastikan keselamatan pemimpin selain ketenteraman awam tidak terganggu.

"Dalam dunia sekarang yang terdedah dengan ancaman militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), keselamatan pemimpin menjadi keutamaan, maka kawalan keselamatan terhadap pemimpin sesebuah negara diperketatkan," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh, dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Tajuddin Md Isa yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Dalam kejadian pada 8.35 malam itu, polis menahan 2 rakyat Australia di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, Kuching kerana cuba mendekati Najib secara agresif ketika perdana menteri menghadiri majlis bersama rakyat.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bagi siasatan lanjut sebelum dibebaskan pada Ahad (semalam) dengan jaminan polis setelah keterangan mereka direkodkan.

Kedua-dua rakyat Australia yang masing-masing berusia 51 dan 39 tahun itu mendakwa bertugas sebagai wartawan dengan Australian Broadcasting Corporation berpangkalan di Sydney.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua warga Australia itu mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh, Noor Rashid berkata: "Tak mungkin."

"Kalau kita tengok profil kedua-dua warga Australia itu, mereka merupakan 'investigative journalist', cuma tindakan mereka itu agak keterlaluan, maka kita perlu tahan dan soal siasat mereka," katanya. – Bernama, 14 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments