bahasa
Tindakan tegas ucapan berbaur hasutan pada perhimpunan 27 Mac, kata KPN
Polis hari ini memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang membuat ucapan mengandungi elemen hasutan dalam perhimpunan dirancang di negara ini pada 27 Mac.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sesiapa yang berucap pada perhimpunan itu, walaupun diadakan di kawasan tertutup, perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana polis akan mengambil tindakan jika menyentuh perkara yang ada unsur menghasut.
"Saya tidak tahu di mana mereka nak buat perhimpunan tapi walaupun dalam kawasan tertutup kami (polis) akan pantau (ucapan)," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di Miri hari ini.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara yang mengesahkan kehadiran ke perhimpunan yang dicadangkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bertujuan membantah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Berhubung pilihan raya negeri Sarawak ke-11 yang perlu diadakan menjelang Jun, Khalid berkata polis sudah mengenal pasti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka berlaku situasi tegang.
Enggan mendedahkan kawasan DUN itu, beliau berkata polis kini sudah bersiap siaga mengawal aspek keselamatan di kesemua 82 kerusi DUN.
Mengenai ancaman militan Negara Islam Iraq dan Syiria (Isis) di Sarawak, beliau berkata, polis melakukan pemantauan untuk mengelak militan menyusup masuk ke Sarawak.
Sebanyak 164 anggota dan pegawai polis yang bertugas semasa pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013 menerima Pingat Kedaulatan Negara. – Bernama, 11 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments