bahasa

Ulasan buku: Cerita pendek dalam kepala seorang posmen

Buku Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen, cereka amat ringkas dan disampaikan menggunakan teknik bervariasi dan bahasa Melayu santai. Bagaimanapun, ia membawa pembaca berfikir secara mendalam tentang makna tersirat yang terkandung di dalamnya. – Gambar The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Buku Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen, cereka amat ringkas dan disampaikan menggunakan teknik bervariasi dan bahasa Melayu santai. Bagaimanapun, ia membawa pembaca berfikir secara mendalam tentang makna tersirat yang terkandung di dalamnya. – Gambar The Malaysian Insider, 13 Mac, 2016.Buku “Cerita Pendek Dalam Kepala Seorang Posmen” (2016) tulisan Lang Rahman memang menyeronokkan untuk dibaca.

Kebanyakan cerita amat ringkas (satu halaman sahaja) dan boleh dibaca dalam keadaan santai sambil menunggu bas atau LRT.

Namun, rata-rata cereka ini berunsur surreal dan memerlukan pembaca berfikir secara mendalam tentang makna tersirat yang terkandung di dalamnya.

Pengaruh Haruki Murakami dan Franz Kafka amat jelas dalam kebanyakan cerita. Malah, nama mereka berdua disebut dalam sebuah cerita.

Khalayak yang meminati cerpen-cerpen tulisan Roslan Jomel pasti akan menyukai buku ini.

Dalam mengangkat tema dan gaya penulisan surealisme, Lang Rahman tidak sesekali cuba memaksa diri. Sebaliknya, kisah-kisah seharian – di kampung dan di bandar – diungkapkan secara bersahaja.

Kebijaksanaan penulis membuatkan pembaca merasakan seolah-olah kisah-kisah yang diceritakan ini mungkin benar-benar berlaku – walaupun berada di luar batas realiti.

Agak sukar untuk dipercayai yang Lang Rahman tidak pernah mengikuti sebarang bengkel penulisan formal. Sebaliknya, hanya belajar daripada pengalaman dan perkongsian dengan rakan-rakan penulis, serta melalui pembacaan karya bermutu.

Dalam kebanyakan cerpen, penulis menggunakan teknik “breaking the fourth wall” iaitu bertindak bercerita secara langsung kepada pembaca.

Misalnya, penggunaan “sekarang awak cuba bayangkan perasaan kami”, “anda jangan keliru”, “Ah, kau peduli apa?” dan “jika kau berada di tempat aku sekarang”.

Dua perkataan yang sering diulang adalah “sebenarnya” dan “walau bagaimanapun” sehingga membuatkan saya tertanya-tanya apakah ia disengajakan atau sekadar kebetulan.

Plot atau perjalanan cerita adalah di luar jangkaan. Hal ini membuatkan cerita-cerita dalam buku setebal 85 halaman ini sedikit pun tidak menjemukan.

Dalam kebanyakan cerita, ada kritikan sosiopolitik. Diungkapkan bagaimana “kuasa akan kembali ke tangan rakyat” sementara “lelaki separuh botak yang asyik ulang-cakap tentang bantuan rakyat”.

Diceritakan juga tentang “penternak benci”, “sindiket pengedaran perkauman” dan “pihak berkuasa yang berlagak macam samseng masuk kampung” selain menyentuh mengenai “diskriminasi” dan “minoriti”.

Walaupun cerita-cerita dalam koleksi ini berunsur surreal dan hampir tidak berpijak di bumi nyata, kesemuanya masih mengungkapkan kritikan terhadap isu-isu di depan mata.

Komen bukan sahaja berkaitan perkara “sia-sia menjadi budak kampung kalau tak makan makanan atau masakan kampung”.

Sebaliknya juga kritikan berkaitan “teori konspirasi dalam blog Melayu paranoid” dan sikap “sangat paranoid dan menyangka kaum lain Cuma mahu menjatuhkan mereka”. – 13 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments