bahasa
Umno jadi lemah jika tidak pecat ahli bersekongkol dengan pembangkang
Umno akan menjadi sebuah parti yang lemah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya tidak memecat ahli parti yang bersekongkol dengan pembangkang dalam menandatangani "Deklarasi Rakyat", baru-baru ini.
Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata dalam keadaan politik sekarang, Umno tidak boleh mempunyai "gunting dalam lipatan" yang boleh memecahbelahkan parti dari dalam dan perlu segera melakukan "pemutihan parti" bagi memastikan Umno terus kukuh.
"Ahli (Umno) yang bersekongkol dengan pembangang terutama DAP sudah tentu akan mengelirukan ahli parti (Umno) yang lain seterusnya akan menjejaskan jentera Umno dan parti secara keseluruhannya pada PRU14 nanti.
"Saya tegaskan di sini Umno hanya perlukan ahli parti yang benar-benar setia. Kita mahu jelas sama ada sokong Umno atau tidak, tidak boleh sokong Umno tetapi tidak sokong pemimpin parti, sokong Umno secara keseluruhannya," katanya pada sidang media, di Melaka malam ini.
Terdahulu, Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, merasmikan Mesyuarat Agong Berkelompok Cawangan Umno Dewan Undangan Negeri Bukit Baru di Bukit Katil, Melaka.
Beliau mengulas tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Deklarasi itu turut ditandatangani bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
Ali berkata sebagai ahli Umno yang menjaga amanah orang Melayu di negara ini beliau tidak dapat menerima tindakan ahli Umno yang sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas mempunyai agenda negatif terhadap orang Melayu.
"Saya hormati beliau (Dr Mahathir) dan tidak mengkritik beliau tetapi saya tidak boleh terima apabila beliau sanggup bekerjasama dengan DAP, walau apapun alasannya matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.
Justeru, Ali yang juga bekas ketua menteri Melaka, berkata ahli Umno dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu menilai sebaiknya apa yang berlaku dalam senario politik negara sekarang. – Bernama, 10 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments