bahasa

Usah beban guru dengan kerja pentadbiran, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap guru tidak dibebankan dengan kerja pentadbiran dan memberi tumpuan kepada aspek akademik, sahsiah agar pembangunan seimbang dapat dihasilkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap guru tidak dibebankan dengan kerja pentadbiran dan memberi tumpuan kepada aspek akademik, sahsiah agar pembangunan seimbang dapat dihasilkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Mac, 2016.Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata guru-guru di negara ini tidak seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha ke arah akademik dan kerohanian.

Tegasnya tindakan itu perlu dilakukan untuk memperkasakan guru dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, malah mempunyai akhlak dan sahsiah yang tinggi.

Malah Zahid berkata perkara itu harus dijadikan keutamaan dalam usaha negara mencapai taraf negara maju seperti dikehendaki Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) iaitu 70% daripada rakyat negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya peringkat diploma.

"Tentunya saya setuju jika guru tidak dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaiknya menumpukan kepada aspek akademik dan sahsiah iaitu keperibadian dan kerohanian agar pembangunan seimbang dapat dikeluarkan dalam sistem pendidikan kita.

"Ini kerana dalam bidang pendidikan, prestasi harus juga diukur kepada kestabilan emosi guru-guru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Bola Sepak Piala Timbalan Perdana Menteri dan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 kawasan Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perkasa di Bagan Datoh, hari ini.

Turut hadir Exco Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan, Pengarah Pendidikan negeri Rozi Puteh Ismail dan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak Sulaiman Samsudin.

Bagi mencapai taraf negara maju seperti yang disasarkan pertubuhan dunia itu, Zahid berkata adalah penting bagi memastikan sebahagian besar penduduk negara ini menggembleng tenaga untuk mempunyai sekurang-kurangnya diploma, ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah (PhD).

Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh berkata sasaran itu turut meliputi usaha menjadikan golongan muda negara ini bukan sekadar berpelajaran tetapi juga berpendidikan, iaitu seimbang pencapaian fizikal dan rohani.

Dalam majlis berkenaan, seramai 95 pelajar daripada 11 sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM dalam kawasan itu diraikan. Mereka yang hadir bersama ibu bapa menerima wang tunai RM500 dan sebuah hamper setiap seorang yang disampaikan Zahid.

Timbalan Perdana Menteri juga meluangkan masa membawa jentera bagi merasmikan secara simbolik upacara pecah tanah Dewan Terbuka SMK Seri Perkasa. – Bernama, 12 Mac, 2016.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments