bahasa
Zahid arah polis beri perhatian peningkatan kes jenayah di Sarawak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan memberi tumpuan terhadap kes jenayah yang mencatat peningkatan di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta pengarah setiap jabatan di Bukit Aman, juga diminta melihat aspek yang perlu ditingkatkan dari segi mengurangkan kes jenayah sehingga menyebabkan peningkatan itu.
"Beberapa kes memperlihatkan peningkatan seperti pemerkosaan ataupun rogol yang meningkat 13%, dan kes samun tanpa senjata (11%). Ini menjadi keprihatinan MCPF (Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia) untuk membantu polis mengurangkan kadar jenayah yang meningkat di Sarawak dan seluruh negara.
"Kami juga lihat ada beberapa kes yang meningkat iaitu kes curi motosikal meningkat kepada 38% serta kes pecah rumah dan curi 18%," katanya.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco MCPF di Kuching hari ini.
Turut hadir, Khalid dan Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.
Di sebalik peningkatan beberapa kes jenayah, Zahid berkata hasil kerjasama Bukit Aman dan Polis Sarawak, indeks jenayah di negeri berkenaan menurun kepada 13%.
"Kita juga dapati jenayah kekerasan turun 13% dan jenayah harta benda juga turun 13%," katanya.
Beliau berharap kesedaran orang ramai akan turut membantu polis mengurangkan kadar jenayah, dan mereka harus membantu pasukan keselamatan itu untuk menjayakan usaha tersebut.
"Saya menyeru kepada badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan MCPF atau tidak, terutama NGO yang ditubuhkan untuk membantu polis dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah, agar terus ke hadapan membantu usaha murni ini.
"Jika kita letakkan harapan kepada polis dan agensi penguatkuasaan bagi melakukan tindakan, ia tidak akan memperlihatkan pencapaian yang begitu baik. Namun, saya amat positif usaha yang diperlihatkan ini... Insya Allah akan dapat membantu pencapaian lebih baik (mencegah dan membanteras jenayah)," katanya. – Bernama, 13 Mac, 2016.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments