opinion
1.5 juta lagi warga Bangladesh bakal ‘rampas’ rezeki rakyat Malaysia
February 14, 2016Bersungguh-sungguh pemimpin negara mempertahankan tindakan membawa masuk 1.5 juta lagi rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia.
Ironinya, pemimpin yang beria-ia mahu membawa warga Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia datangnya daripada parti berideologikan nasionalisme Melayu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Putrajaya membawa masuk lagi 1.5 juta lagi warga Bangladesh kerana rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor perladangan dan pembinaan.
Sedangkan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini mencadangkan, lebih baik Putrajaya membekalkan latihan secukupnya dan gaji setimpal kepada pekerja separa mahir tempatan untuk diserapkan ke dalam sektor yang ketika ini kurang diminati warga Malaysia.
Menurut MTUC, langkah membawa masuk 1.5 juta lagi warga Bangladesh bertentangan dengan polisi negara untuk hanya mempunyai 15% pekerja asing dalam tenaga kerja menjelang 2020.
"Beribu-ribu pekerja dari Malaysia merantau ke Singapura setiap hari bagi menyara hidup. Kenapa?
"Siapakah yang banyak melakukan kerja-kerja separa mahir ini di Singapura?" soal Setiausaha Agung MTUC N. Gopal Kishnam.
Gopal berkata, walaupun bekerja dalam sektor separa mahir, disebabkan imbuhan yang dibayar tinggi dan setaraf dengan kerja tersebut, maka rakyat Malaysia sanggup berulang-alik ke negara jiran.
"Mereka ini bukan sahaja profesional, malah juga terdiri daripada golongan yang terkandas dalam pelajaran dan pekerja am," katanya.
Jadi adakah motivasi membawa 1.5 juta lagi warga Bangladesh ke Malaysia hanya kerana keuntungan semata-mata?
Apabila kampung diambil alih Bangla
Beberapa minggu lalu penulis dan beberapa orang teman sempat menjenguk kehidupan masyarakat Melayu di kawasan pedalaman di Selangor.
Selain daripada bergelumang dengan kemiskinan, di antara yang masalah utama mereka kini ialah punca rezeki sudah mula diambil alih warga asing.
Seorang lelaki berusia 50 an yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat berkata, kedai runcit kecil miliknya kini terpaksa bersaing dengan 4 lagi kedai milik warga asing di kampungnya.
Disebabkan itu, jualannya kini semakin berkurangan dan keuntungan yang diperolehnya terlalu kecil hanya sekadar cukup makan.
Lebih mengejutkan lagi, seorang pemuda menceritakan kepada kami, warga asing kini turut bersaing dengan mereka sebagai nelayan!
Disebabkan upah lebih murah dan sanggup duduk berhari-hari di tengah laut, “tauke-tauke” tempatan kini lebih berminat menggunakan khidmat warga asing berbanding nelayan tempatan.
Akhirnya apa yang tinggal untuk rakyat Malaysia? Sudahlah kos kehidupan kini mencanak naik, rezeki kecil sedia ada terpaksa dikongsi pula dengan warga asing.
Itu belum lagi kita bahaskan masalah sosial yang datang bersama jutaan warga asing dibawa masuk ke Malaysia.
Baru-baru ini, seorang aktivis masyarakat memberitahu penulis bagaimana di Penggerang, Johor, beberapa kampung Melayu sudah mula diambil alih warga Bangladesh.
Tidak mustahil pada masa akan datang, jika Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina kalah dalam pilihan raya di negaranya, beliau boleh mencuba nasib di Malaysia.
Silap-silap di sesetengah kawasan, ahli politik Malaysia yang melawannya akan hilang deposit! – 14 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments