opinion
1MDB, Najib dan Umno, apa kesudahannya?
February 03, 2016Sesungguhnya, Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri keenam Malaysia masih tidak boleh menjauhkan diri daripada skandal 1MDB, "gergasi" ciptaannya sendiri walaupun Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, "membebaskan" beliau daripada siasatan derma peribadi RM2.6 bilion seperti dijangka ramai termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam reaksi segera Najib sebaik pengumuman Apandi pada Selasa minggu lalu, beliau antara lain menyeru rakyat Malaysia untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan melupakan episod berkenaan yang disifatkan sebagai gangguan tidak menguntungkan terhadap kemajuan negara.
Ketika itu semua jalan terbentang luas untuk Najib membebaskan diri daripada pelukan "gergasi" itu namun tanpa disangka peguam negara, Switzerland mengesahkan berlaku penipuan dan penyelewengan terhadap sejumlah wang 1MDB yang berada di negara berkenaan dan sekali lagi Najib berada semula dalam pelukan sang "gergasi".
Sampai bila rakyat Malaysia terpaksa terus berdepan dengan "gergasi" 1MDB ini, tidaklah diketahui tetapi setiap permulaan pasti ada penghujungnya. Cuma yang terus merunsingkan adalah bagaimana pihak berkuasa negara ini mahu menyiasat skandal 1MDB ini, jika Najib terus menjadi pengerusi lembaga penasihat syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu.
Persoalan juga terus timbul terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes membabitkan rasuah dan suapan dengan Seksyen 50 Akta SPRM 2009 jelas tertulis penjawat awam tidak boleh menerima atau memberi sebarang bentuk suapan kerana mereka melakukan rasuah.
Mahu tidak mahu, selepas ini semua individu yang memberi atau menerima suapan boleh mendakwa ia derma peribadi dan tidak melakukan kesalahan di bawah akta SPRM dan terjemahan undang-undang sebegini yang boleh menjahanamkan dan merosakkan negara.
Di pihak Umno pula, semua jeneral Najib bertepuk tangan dengan pengumuman Apandi dan tidak segan silu mengatakan derma peribadi diterima presiden untuk memastikan kemenangan parti terbesar orang Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu. Ia sebenarnya lubang digali Umno dalam berdepan rakyat pada PRU14 nanti.
Bayangkan selepas ini, berpusu-pusu pemimpin politik beratur bertemu dengan negara luar meminta derma bagi memastikan kemenangan parti masing-masing dalam PRU akan datang sekali gus membawa kepada campur tangan kuasa asing terhadap kedaulatan negara, dalam kata lain Malaysia pasti terjajah semula.
Nampaknya, faktor ini langsung tidak dipedulikan pemimpin Umno kerana bagi mereka apa yang lebih penting adalah menyelamatkan Najib yang selama ini, menjadi pelindung dan penyelamat mereka dengan menyalurkan wang seperti pernah diakui beberapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
Atas sebab itu, dapat dilihat bagaimana Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berusaha bersungguh-sungguh menjarakkan diri dengan kemelut dihadapi Putrajaya dan Najib dengan mengumumkan pendirian tegas Kuching mahu kuasa autonomi Sarawak dikembalikan segera.
Adenan sedar beliau tidak boleh bergantung dengan Najib daripada apa segi sekalipun kerana imej Putrajaya jatuh merosot dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka April ini. Beliau sudah pasti tidak mahu terpalit dengan sebarang skandal 1MDB atau derma peribadi Najib yang boleh menggugat kepercayaan rakyat Sarawak terhadap kerajaan pimpinannya.
Tambahan pula, cara Najib menangani kemelut dan isu membabitkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir amat pelik apabila tidak mahu membuat keputusan segera sebaliknya, membiarkan ia terus berlarutan sehingga menimbulkan pelbagai polemik dan perpecahan di kalangan ahli Umno akar umbi.
Sifat keras kepala Mukhriz jelas menunjukkan anak bongsu Dr Mahathir itu tidak akan tunduk kepada desakan 14 ketua Umno Bahagian Kedah yang diketahui adalah barisan jeneral Najib di negeri Jelapang Padi yang tidak gemar dengan kelantangan pemimpin muda Umno itu bersuara mengkritik Putrajaya dalam pelbagai isu, terutama sekali 1MDB.
Lagipun Mukhriz sedar beliau berada dalam kedudukan terbaik untuk mempertahankan dirinya, memandangkan beliau tidak terbabit dengan sebarang skandal berbanding Najib selain namanya dijual sebagai ejen peremajaan parti ketika PRU 13 lalu, sebagai usaha Umno menonjolkan pemimpin muda bagi merampas Kedah daripada PAS.
Mahu tidak mahu semua pemimpin Umno harus mengakui dan beristiqamah PRU14 nanti ujian paling besar yang perlu dihadapi apabila bertentang dengan rakyat dalam menjelaskan pelbagai isu yang sebenarnya, berkisar kepada Najib, 1MDB serta derma RM2.6 bilion.
Setakat mana rakyat akan menerima penjelasan berkenaan hanya dapat ditentukan apabila keputusan PRU14 diumumkan nanti.
Tidak dapat dipastikan sampai mana atau bila kesudahan isu 1MDB ini akan berlarutan dan jika ia tidak diselesaikan segera dalam tempoh 2 tahun ini, Umno sudah pasti berdepan tugas sukar dalam menangani persepsi negatif hasil ciptaan Najib sendiri. – 3 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments