opinion

Abai pendidikan punca keputusan SPM 2015 merosot

Nomy Nozwir

March 05, 2016

Hari Khamis yang lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah pun keluar.

Pencapaian keseluruhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 menurun berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 5.15 mata berbanding 5.08 pada 2014.

Dalam saya menjalankan kerja saya, saya sempat berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara dan Selatan dalam menyaksikan sendiri majlis penyampaian sijil SPM di 2 sekolah berprestasi tinggi itu.

Apa salah dan silapnya sampai peratusan keputusan mereka yang mendapat semua A merosot berbanding tahun lepas?

Dalam pelan "blueprint" pendidikan 2013-2025, menyaksikan satu pelan jangka masa panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu bersaing dari segi kualiti pendidikan.

Tetapi saban hari kita mendengar kemerosotan pelajar kita terutamanya dalam sains dan matematik, terutamanya di kalangan negara Asia, membuatkan saya terfikir, di mana salah dan silapnya mutu pendidikan kita?

Dua minggu lepas, adik kepada seorang selebriti terkemuka secara terbuka mengkritik sekolah kerajaan yang dibandingkan dengan sekolah swasta, mendapat kecaman hebat dari kalangan ramai orang – dari yang bersekolah tinggi hingga yang tidak habis sekolah.

Dan dalam kemarahan itu – ramai enggan mengakui sememangnya kerajaan ini sangat kurang memberikan peruntukan pendidikan – terutamanya soal infrastruktur, kita perlu akui memang kita ketinggalan.

Saya pernah melawat sebuah sekolah baru-baru ini – dan sekolah itu masih menggunakan komputer dengan perisian Windows 95 – I rest my case!

Tetapi, isu ini bukan sahaja silap dan salah kerajaan – saya merasakan beban ini tidak harus diletakkan pada kerajaan semata-mata.

Ibu bapa, masyarakat serta industri media juga tidak pernah mementingkan pendidikan sebaliknya hiburan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada pembangunan negara. 

Ditambah pula dengan kebangkitan ustaz selebriti yang mengeluarkan pandangan tanpa acuan pemikiran saintifik semakin dibiarkan berleluasa.

Dengan masyarakat di stesen radionya sering buat lawak bodoh dan rancangan lawak bodoh menjadi rancangan paling popular, maka jangan marahlah bila satu hari nanti negara seperti Vietnam, Kemboja dan Bangladesh akan memotong kita dari segi kemajuan sains dan teknologi.

Masa itu baharu hendak garu-garu kepala terkenangkan sasaran Wawasan 2020 yang dah tersasar jauh. – 5 Mac, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments