opinion
Apakah ‘objektif muktamad’ DLP?
March 06, 2016Permasalahan yang sebenar dalam cadangan “Dual Language Programme” (DLP) bukanlah sama ada penggunaan bahasa Inggeris sebagai penghantar akan mempertingkatkan kualiti pembelajaran mata-mata pelajaran seperti matematik, sains dan teknologi, tetapi apakah "objektif muktamad" di belakangnya.
Bagi saya, hujah pihak pembangkang DLP iaitu pembelajaran matematik, sains dan teknologi tidak memerlukan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar benar.
Akan tetapi, hujah pihak pembangkang, DLP boleh mempertingkatkan kualiti pembelajaran mata-mata pelajaran ini juga benar.
Bagaimana mungkin kedua-duanya benar?
Kerana manusia berbeza, termasuk dalam kecenderungan untuk dan keberkesanan dalam pembelajaran melalui sesuatu bahasa.
Maka, pertukaran bahasa penghantar – tak kira daripada bahasa apa ke bahasa apa – boleh menguntungkan sesetengah pelajar, merugikan sesetengah yang lain dan tidak mempunyai kesan positif atau negatif kepada yang lain.
Pada tahap individu, kesan positif, negatif atau neutral pembelajaran dalam sesuatu bahasa bergantung kepada beberapa faktor seperti penguasaan bahasa penghantar pelajar, penguasaan bahasa penghantar guru (untuk mengajar mata pelajaran tersebut), dan keterdapatan (availability) bahan-bahan rujukan dalam bahasa penghantar.
Sebagai contoh, jika kita tiada bahan bacaan – tak kira dalam bentuk buku, rencana ataupun penjelasan Wikipedia – dalam bahasa Melayu tentang "Gelombang Gravitasi", maka tidakkah penguasaan bahasa Inggeris menjadi satu kelebihan daripada menunggu kemunculan penterjemahan untuk bahan-bahan ini?
(Dalam kes "Gelombang Grativasi", kekurangan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dapat dilengkapi sebahagiannya oleh keterdapatan sumber-sumber dalam bahasa Indonesia seperti Kompas, BBC Indonesia dan Wikipedia Indonesia.)
Mengikut logik ini, kita tidak harus taksub dengan keseragaman dalam sistem pendidikan kecuali kita ingin menguntungkan kelompok pelajar yang menguasai bahasa penghantar tertentu.
Seterusnya, DLP seharusnya disokong kecuali kita ingin menghalang pelajar yang berupaya menguasai bahasa Inggeris daripada mencapai pembelajaran matematik, sains dan teknologi.
Akan tetapi, analisa pro-kepelbagaian dan pro-pilihan begini ada satu kekurangan yang besar: ia tidak mengambilkira kesan jangka panjang.
Kita tidak boleh membincang tentang baik-buruk DLP tanpa tanya apakah "objektif muktamad"nya yang sememangnya – mungkin dengan sengajanya – tidak tersurat.
Soalannya mudah saja: Apakah sekolah yang mengajar matematik, sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil masih akan wujud dalam masa 10 tahun atau 20 tahun dari sekarang?
Mungkin ada yang jawab: kalau kelenyapan sekolah begitu disebabkan pilihan ibu bapa dan pelajar, maka apa salahnya?
Tidak salah sememangnya jika semua sekolah diberi layanan dan sokongan yang sama rata, dan ibu bapa tetap memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar.
Akan tetapi, adakah Kementerian Pendidikan boleh menjamin layanan dan sokongan yang mencukupi untuk sekolah yang tidak memilih bahasa Inggeris? Ataupun mereka akan dianaktirikan di bawah "objektif muktamad" yang tidak disebut secara jujur.
Sekolah-sekolah jenis kebangsaan (bahasa Cina dan Tamil) selama ini memang dianaktirikan kerana "objektif muktamad" dalam Laporan Razak yang ingin menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan (bahasa Melayu).
Dalam kata lain, DLP tidak dapat disokong atas hujah ianya pro-kepelbagaian dan pro-pilihan jika Kementerian Pendidikan tidak mempunyai iktizam untuk menjamin kepelbagaian dan pilihan dalam jangka panjang.
Kalau DLP itu memanglah "kuda Trojan" untuk menginggeriskan pembelajaran matematik, sains dan teknologi dalam semua sekolah, berapa besarkah manfaatnya bila "objektif muktamad" ini tercapai?
Bayangkanlah sekolah-sekolah sekarang ini adalah ikan-ikan dalam sebuah kolam dan mereka kebanyakannya kurang sihat.
Pertukaran bahasa penghantar itu bagaikan membuka sebuah kolam yang baru di sebelah kolam asal dengan air yang berlainan kandungan mineralnya.
Maka, DLP adalah jemputan ikan melompat dari kolam asal ke kolam baru.
Apakah DLP akan berjaya pada mulanya? Saya percaya jawapannya ialah "ya", kerana 2 sebab.
Pertama, ikan-ikan yang melompat itu adalah jenis yang memang lebih sesuai dengan air baru (penguasaan bahasa Inggeris yang lebih kuat) atau lebih sihat untuk melompat (pelajar yang lebih pintar).
Kedua, ikan-ikan yang pertama kali melompat akan mendapat lebih banyak perhatian dan makanan daripada pihak penjaga ikan.
Apakah kedua-dua faktor ini juga terdapat di semua ikan yang melompat atau dipindah kemudiannya?
Sudah tentu tidak. Faktor pertama dinamakan "bias pemilihan-sendiri" ("self-selection bias").
Faktor kedua dinamakan "kelebihan penggerak pertama" (first-mover advantage).
Secara definisinya, kedua-dua ini tidak akan wujud dalam semua ikan yang melompat atau dipindah kemudiannya.
Maka, jika semua ikan dipindah ke kolam baru, apakah semua ikan menjadi lebih sihat?
Sudah tentu tidak kecuali sememangnya kandungan air (bahasa penghantar) adalah satu-satunya faktor penentu kesihatan (kualiti pembelajaran matematik, sains dan teknologi).
Ini adalah masalah pokok DLP.
Tanpa usaha pakej yang menyelesaikan faktor-faktor bukan bahasa yang menyebabkan kelembapan kualiti pembelajaran matematik, sains dan teknologi, DLP cuma akan dapat membantu sebahagian sekolah yang memang dapat diuntungkan dengan penggunaaan bahasa Inggeris dan sekolah-sekolah yang tidak mengikutinya akan disalahkan.
Tanpa menjawab kegelisahan pencita bahasa Melayu (kerana DLP pada peringkat awalnya cuma akan dilaksanakan untuk sekolah-sekolah berbahasa Melayu), mungkinkah DLP dapat mengatasi rintangan dan dilaksanakan?
Akan tetapi, tanpa DLP, tidak bermakna bahasa Melayu selamat dan sihat. Itu saya akan bicara minggu depan. – 6 Mac, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments